Jumaat, 23 Jun 2017

Giliran Chong Wei ukir nama



ARKIB : 27/03/2006
Ads by Kiosked

MELBOURNE - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei memahatkan nama baru dalam senarai pemenang ketika Malaysia mencipta rekod menguasai acara perseorangan lelaki dalam tempoh 16 tahun apabila memenangi pingat emas badminton Sukan Komanwel di Melbourne Exhibition Centre di sini, semalam.

Chong Wei menumpaskan rakan senegara, Wong Choong Hann 21-13 21-12 pada perlawanan akhir untuk menjadi pemain kelima dari Malaysia memenangi pingat emas acara itu.

Malaysia menguasai acara perseorangan sejak 1990 dengan Rashid Sidek muncul juara pada temasya di Auckland sebelum mempertahankan pingat emas itu pada tahun 1994 di Victoria.

Pada temasya di Kuala Lumpur 1998, Choong Hann muncul juara sementara pada tahun 2004 di Manchester, Muhammad Hafiz Hashim bergelar juara.

Malah sejak 1990 aksi perlawanan akhir juga menampilkan pertemuan sesama sendiri pemain dari Malaysia. Di Auckland, Rashid menewaskan Foo Kok Keong dalam perlawanan akhir. Rashid kemudiannya menewaskan Ong Ewe Hock empat tahun kemudiannya di Victoria.

Dalam perlawanan akhir 1998, Choong Hann menumpaskan Yong Hock Kin dengan Hafiz mengalahkan Lee Tsuen Seng pada babak akhir dalam Sukan Komanwel di Manchester.

``Saya gembira memenangi pingat emas. Mulanya saya agak tertekan kerana saya menjadi pilihan untuk muncul juara.

``Apa pun, Choonn Hann lebih banyak menyimpan tenaga kerana dia terpaksa beraksi dalam satu lagi perlawanan akhir (beregu lelaki),'' kata Chong Wei.

- Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kpnFX8u7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan