Jumaat, 2 Jun 2017

Chong Wei mengadu sakit perut



ARKIB : 11/08/2005

KUALA LUMPUR - Pasukan badminton negara diuji sehari sebelum berlepas ke Kejohanan Dunia hari ini, apabila pemain nombor satunya, Lee Chong Wei diserang sakit perut dan cirit-birit.

Juara Terbuka Malaysia itu bagaimanapun tetap hadir pada sesi latihan terakhir skuad kebangsaan semalam, yang ditamatkan sejam lebih awal daripada kebiasaan.

Selain berita sakit perut yang dialami Chong Wei, 22, pasukan badminton Malaysia juga menerima khabar `kurang enak' menjelang pemergian mereka ke Anaheim, California apabila naib juara dunia, Wong Choong Hann pula diarah menjalani temuduga kedua apabila tiba di Lapangan Terbang Los Angeles, esok.

Choong Hann, 28, adalah pemain kedua yang lewat menerima visanya ke Amerika Syarikat selepas juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim yang hanya mengambil visanya, semalam.

``Saya diberitahu Chong Wei mengalami sakit perut semalam, mungkin kerana salah makan, tetapi keadaannya beransur pulih hari ini.

``Ini bukanlah masalah yang serius, saya yakin dalam masa sehari dua lagi dia sudah boleh kembali seperti biasa, malah hari ini dia sudah boleh menjalani latihan ringan.

``Mengenai Choong Hann, dia hanya diarahkan menjalani temuduga kedua apabila tiba di Los Angeles. Saya fikir ia hanyalah prosedur biasa, tiada apa yang perlu dibimbangkan,'' kata Kim Hock pada sesi latihan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kata Kim Hock, beliau tidak pasti sama ada juara Terbuka Thailand dan Switzerland, Hafiz turut diarahkan menjalani temuduga kedua kerana belum berkesempatan bertemu pemain itu.

Malaysia sudahpun melakar sejarah tersendiri sebelum kejohanan bermula, 15-21 Ogos ini apabila akan diwakili dalam semua lima acara iaitu perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.

Chong Wei, yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan menjadi sandaran terbaik Malaysia dalam perseorangan lelaki, selain Hafiz, pilihan kelapan dan pilihan ke-10, Choong Hann.

Cabaran beregu lelaki pula akan dipikul pasangan utamanya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iqHcFr1L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan