Jumaat, 23 Jun 2017

Nicol, Chong Wei terbaik - Anugerah Sukan Negara



 
ARKIB : 05/04/2006
Ads by Kiosked
Nicol, Chong Wei terbaik - Anugerah Sukan Negara
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
Lee Chong Wei bersama Nicol Ann David sempat bersalaman sebelum menerima trofi anugerah Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Kebangsaan 2005 di Subang, semalam.


SUBANG JAYA - Dua sukan raket, badminton dan skuasy menguasai Anugerah Sukan Negara 2005 apabila Lee Chong Wei dan Nicol Ann David diumumkan sebagai Olahragawan-Olahragawati Kebangsaan, semalam.

Kejayaan itu membolehkan Chong Wei dan Nicol masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Anugerah dan hadiah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail.

Pemilihan Chong Wei, 24, dibuat berdasarkan kejayaannya menjuarai Terbuka Malaysia dan Denmark serta layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia dan Seluruh England.

Pencapaian itu telah melonjakkan kedudukannya daripada pemain ranking kelapan ke ranking ketiga dunia sepanjang 2005.

Chong Wei menewaskan lima calon lain iaitu Ng Shu Wai (gimnastik), Sazali Samad (bina badan), Yeoh Ken Nee (terjun), R. Puvaneswaran (karate) dan Pui Fook Chiew (wushu).

Ini kali pertama, Chong Wei menang Anugerah Olahragawan Kebangsaan walaupun pernah dicalonkan pada 2004 lalu.

Pemilihan Nicol, 22, pula lebih bersandarkan kepada kejayaan luar biasanya menjadi pemain wanita pertama Malaysia dan Asia menjuarai Terbuka British di samping Terbuka Dunia.

Kemenangannya dalam kedua-dua kejohanan paling berprestij itu membolehkan Nicol dinobat sebagai pemain nombor satu dunia.

Pencapaian hebat Nicol itu sudah cukup untuk mengetepikan sama sekali dua pencabar terdekat anugerah olahragawati ini iaitu Nur Iryani Azmi (boling padang) dan Chai Fong Ying (wushu) yang turut muncul juara dunia acara masing-masing.

Ini kali ketiga, Nicol menang Anugerah Olahragawati Kebangsaan. Sebelum ini ialah pada tahun 1999 dan 2003.

Buat kali pertama, Anugerah Sukan Negara 2005 diadakan serentak bersama dengan anugerah paralimpik dan jurulatih kebangsaan berbanding secara berasingan sebelum ini.

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dimenangi Mohd. Salam Sidik (memanah) manakala Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menjadi milik Siow Lee Chan (angkat berat).

Apa yang menarik pemenang anugerah paralimpik ini turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 - sama seperti anugerah olahragawan/ olahragawati kebangsaan.

Pemilihan Mohd. Salam dibuat berdasarkan kejayaannya muncul juara Kejohanan Memanah Dunia Kerusi Roda dalam tiga acara iaitu 50 meter, 70 meter dan 90 meter.

Manakala Lee Chan berbekalkan kejayaan menang emas kategori 56kg pada Sukan Para-Asean di Manila dan tempat kedua di Kejohanan Asia.

Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula dimenangi Ng Joo Ngan dari sukan berbasikal.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kqIvQxO6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan