Ahad, 25 Jun 2017

Chong Wei tetap cergas



 
ARKIB : 22/04/2006
Ads by Kiosked
Chong Wei tetap cergas

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
CERIA...Barisan pemain pasukan Piala Thomas negara (depan dari kanan) Chew Choong Eng, Lee Chong Wei, Chan Chong Ming, Choong Tan Fook, (barisan tengah dari kanan) Lee Wan Wah, Tan Boon Heong, Kuang Beng Hong, (barisan belakang dari kanan) Mohd Hafiz Hashim, Koo Kien Keat dan Wong Choong Hann selepas menamatkan sesi latihan terakhir di Santubong, Sarawak, semalam.

KUCHING - Tiada sebarang perubahan dalam senarai pemain ke Piala Thomas akan dilakukan walaupun pemain inspirasi Malaysia, Lee Chong Wei cedera mengejut pada fasa akhir latihan di sini, kelmarin.

Ketua jurulatih, Yap Kim Hock berkata, Chong Wei tetap akan turun beraksi di kejohanan tersebut memandangkan kecederaan bahagian belakangnya disahkan tidak serius.

``Tiada sebarang perubahan barisan pemain akan dilakukan ekoran kecederaan yang menimpa Chong Wei. Dia hanya perlu berehat beberapa hari untuk kembali pulih.

``Apa yang melegakan, kami telahpun selesai menjalani latihan di sini dan inilah kesempatan untuk Chong Wei berehat sebelum pertandingan bermula pada Jumaat depan,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Komanwel, Chong Wei mengadu sakit belakang pada dua hari terakhir latihan di sini kelmarin menyebabkan dia dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan.

Kim Hock berkata pemeriksaan doktor mengesahkan Chong Wei hanya mengalami ketegangan otot belakang akibat latihan keras.

Bagi Chong Wei, kecederaan itu tidak menjejaskan semangat dan persiapannya untuk bermain pada tahap sebenar di Jepun.

``Saya tidak perlu bimbang lagi kerana saya pasti akan turun beraksi di Piala Thomas,'' katanya.

Pasukan negara akan berangkat ke Jepun malam esok untuk kejohanan mulai 28 April hingga 7 Mei depan.

Akibat kecederaan tersebut, Lee Chong Wei terpaksa menjadi penonton ketika rakan sepasukan yang lain berentap sesama sendiri dalam perlawanan persahabatan di Stadium Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak, malam tadi.

Pada perlawanan itu, perseorangan kedua negara Wong Choon Hann mengalahkan perseorangan keempat Kuan Beng Hong manakala perseorangan ketiga Muhd. Hafiz Hashim mudah mengetepikan saingan Lee Tsuen Seng.

Cuma kejutan berlaku dalam acara beregu apabila beregu pertama Chan Chong Ming-Koo Kien Keat tewas kepada beregu kedua, gandingan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Nasib yang sama dialami beregu ketiga, Tan Boon Heong- Chew Choon Eng yang tewas kepada gandingan yang tidak tersenarai ke Piala Thomas, Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif.

Bagaimanapun, kata Kim Hock, keputusan perlawanan itu bukan ukuran sebenar prestasi pemain yang tersenarai ke Piala Thomas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l4dn7jG2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan