Jumaat, 23 Jun 2017

Chong Wei menang mudah



ARKIB : 30/03/2006
Ads by Kiosked

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

JOHOR BAHRU - Juara baru Sukan Komanwel dan pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei mudah melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Stadium Bandaraya Johor Bahru, semalam.

Walaupun masih kepenatan sekembalinya dari Melbourne, Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Wong Keng Hou dari Macau 21-4, 21-6 dan akan bertemu Lee Cheol Ho dari Korea.

Cabaran perseorangan lelaki negara semalam turut diteruskan naib juara tahun lalu, Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin serta K. Yogendran.

Beng Hong, pilihan ketiga menewaskan Paneru Pashupati dari Nepal 21-5, 21-8, Yogendran menang 21-17, 21-14 ke atas Wong Wai Hong dari Hong Kong, manakala Kay Bin mengalahkan Edirimuni Dinuka dari Sri Lanka 21-11, 21-12.

Cabaran seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 8-21, 22-20, 19-21 di tangan Sapkulchananart Poompat dari Thailand.

Sementara itu, M.Sutheaswari muncul perseorangan wanita tunggal Malaysia meneruskan cabaran ke pusingan kedua selepas naib juara Sukan Komanwel, Wong Mew Choo mengetuai kegagalan besar pemain-pemain wanita negara.

Sutheaswari hanya memerlukan 21 minit ketika menewaskan Jaya Singhe Thilini Sudhara dari Sri Lanka 21-9, 21-11 untuk bertemu Mori Kaori dari Jepun.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kpupR5Xg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan