Rabu, 13 Disember 2017

Cheong Wei nyaris kecundang

ARKIB : 20/11/2008
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan aksi dengan mencemaskan sebelum melepasi cabaran pemain tuan rumah, Qiu Yanbo pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka China di Shanghai, semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu kalah mudah 8-21 di set pertama tetapi bangkit pada dua set berikutnya untuk mencatat kemenangan 8-21, 21-14, 21-16.

Chong Wei, naib juara Terbuka China 2007 akan menentang pemain Hong Kong, Ng Wei pada pusingan kedua hari ini.

Cabaran negara dalam saingan perseorangan lelaki turut diteruskan jaguh veteran, Wong Choong Hann yang menang mudah 21-10, 21-14 ke atas pemain India, Chetan Anand.

Choong Hann, satu-satunya pemain lelaki Malaysia yang pernah menjuarai Terbuka China, sama ada dalam perseorangan mahu pun beregu kini akan menentang juara Terbuka Denmark dan Perancis, Peter Hoeg Gade dari Denmark.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara berjaya mengelak daripada mengalami kejutan awal apabila Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Choong Tan Fook-Lee Wan Wah melangkah ke pusingan kedua.

Fairuzizuan-Zakry, pilihan keempat mudah menyingkirkan beregu muda senegara, Chan Peng SoonLim Khim Wah 21-16, 21-14 untuk berdepan Choong HannHong Chieng Hun, yang menewaskan Li Tian-Shen Ye dari China 18-21, 21-19, 21-17.

Kien Keat-Boon Heong pula mengetepikan Songphon Anugritayawon-Tesana Panvisvas dari Thailand 21-12, 21-18 untuk berdepan pasangan China sedang meningkat, Chai Biao-Liu Xiaolong.

Tan Fook-Wan Wah dipaksa berhempas pulas ketika menewaskan rakan senegara, Hoon Thien How-Ong Soon Hock 21-19, 12-21, 22-20, dan akan bertemu Kim Ki Jung-Ko Sung Hyun dari Korea Selatan.

Turut meneruskan cabaran adalah bekas pasangan utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, yang mengalahkan Anders Kristiansen-Simon Mollyhus dari 21-15, 21-17.

Dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan mudah selepas lawannya, Anu Nieminen dari Finland menarik diri ketika ketinggalan 9-21, 6-21.

Mew Choo, bakal berdepan pemain China, Zhu Jingjing, seorang lagi pemain negara, Julia Wong akan menentang juara Seluruh England, Tine Rasmussen selepas menang 21-9, 21-17 ke atas Weny Rahma Wati dari Perancis.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz518MunyIU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan