Sabtu, 16 Disember 2017

Chong Wei hampiri gelaran Terbuka Korea

ARKIB : 18/01/2009
KUALA LUMPUR - Jaguh no. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya setapak lagi dipisahkan daripada merangkul kejuaraan keduanya untuk tahun 2009 apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea buat kali pertama, semalam.

Malah, laluan Chong Wei untuk memburu gelaran pertamanya di Seoul tampak cerah kerana bakal berdepan jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade - pemain yang dikalahkannya tiga kali dalam tempoh sebulan.

Semalam, naib juara Olimpik itu hanya memerlukan 28 minit untuk menyingkirkan pilihan ketujuh, Przemyslaw Wacha dari Poland 21-17, 21-12.

Gade yang tewas kepada Chong Wei pada kejohanan Masters Akhir tahun lalu (di final dan peringkat kumpulan) serta separuh akhir Terbuka Malaysia pula tidak perlu mengerah keringat untuk mara ke akhir selepas lawannya, Simon Santoso dari Indonesia menarik diri.

Ini adalah peluang terbaik Chong Wei untuk menamatkan badi Terbuka Korea - kejohanan yang tidak pernah dimenanginya sejak membuat penampilan sulung pada 2003.

Malah, kemenangan hari ini bukan saja akan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain no. 1 dunia tetapi juga memberikan gelaran sulung di luar Malaysia dalam tempoh enam bulan.

Kemenangan terakhir yang dilakar Chong Wei di luar negara adalah pada Terbuka Singapura, Jun tahun lalu.

Sementara itu, beregu handalan Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung berpeluang untuk menggondol kejuaraan kedua berturut-turut selepas mara ke final beregu lelaki.

Juara Terbuka Malaysia itu menang mudah 21-11, 21-7 ke atas pasangan no. 3 dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark untuk menempah pertemuan dengan satu lagi beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

Boe-Mogensen mara selepas mengetepikan pasangan penuh kejutan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu dari Taiwan 21-16, 21-14.

Pemain No. 2 dunia, Tine Rasmussen juga berpeluang untuk merangkul kejuaraan Siri Super kedua berturut-turut selepas menewaskan pemain Hong Kong, Wang Chen 21-10, 21-11 untuk bertemu Pi Hongyan dari Perancis, yang mara mengejutkan pemain no. 1 dunia, Zhou Mi 23-21, 19-21, 21-12.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51UN3n2M1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan