Rabu, 20 Disember 2017

Chong Wei pilihan utama Seluruh England

ARKIB : 17/02/2009

Lee Chong Wei (kiri) menyerahkan ikrar Road To London 2012 kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei diletakkan sebagai pilihan utama pada Kejohanan Seluruh England dari 3 hingga 8 Mac ini yang mungkin mampu memberikannya laluan agak mudah menjelang sesi undian Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) hari ini

Perseorangan lelaki Malaysia ini diekori juara Olimpik, Lin Dan dari China dan rakan senegaranya, Chen Jin (ketiga), juara Terbuka Korea Selatan, Peter Hoeg Gade (Denmark), Sony Dwi Kuncoro (Indonesia), Joachim Persson (Denmark), Taufik Hidayat (Indonesia) dan Przemyslaw Wacha (Poland).

Turut menemani juara Terbuka Malaysia dan naib juara Terbuka Korea 2009 ini dalam mendukung cabaran Jalur Gemilang di Birmingham ialah Wong Choong Hann, Sairul Amar Ayob, Lee Tsuen Seng, Kuan Beng Hong, Chong Wei Fen, Liew Daren dan Pei Wee Chung.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik 2008 sekadar ke separuh akhir Seluruh England tahun lalu setelah dikalahkan Chen Jin 18-21, 18-21 yang kemudiannya bergelar juara dengan menewaskan Lin Dan 22-20, 25-23.

Hafiz Hashim menjadi pemain terakhir Malaysia menjuarainya pada 2003.

Sementara itu, juara beregu lelaki Seluruh England 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula diletakkan sebagai pilihan ketiga kali ini dengan diikuti pilihan keempat juga rakan senegara, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari sementara pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan menjadi pilihan utama.

Bagi beregu wanita, pasangan utama Malaysia, Wong Pei Tty-Chin Ee Hui diletakkan pilihan kedua di belakang pasangan Taiwan, Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing.

Bagaimanapun tiada pemain negara yang tersenarai di antara lapan pemain pilihan perseorangan wanita dan beregu campuran Seluruh England.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51qbDNWGl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan