Khamis, 14 Disember 2017

Masters final penyuntik semangat 2009 - Chong Wei

ARKIB : 16/12/2008
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KOTA KINABALU - Jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak mahu meletakkan tekanan besar kepada diri sendiri apabila turun pada Kejohanan Badminton Siri Supers Masters Final yang dianggap penyuntik semangat sebelum memulakan tirai 2009.

Bagi Chong Wei, tiada sasaran khusus untuk diletakkan pada kejohanan yang bermula di Kota Kinabalu dari Khamis hingga Ahad ini kerana fokus utamanya adalah kejuaraan Seluruh England dan Kejohanan Dunia, tahun depan.

"Saya tidak meletakkan sasaran khusus pada kejohanan ini tetapi itu tidak bermakna saya tidak bersungguh-sungguh ketika bertanding nanti.

"Sudah tentu saya akan memberikan permainan terbaik kerana ia merupakan penutup Siri Super bagi tahun 2008.

"Begitupun saya tidak mahu berasa tertekan, lagi pun kemenangan dalam Masters Final tidak akan memberi sebarang mata (ranking) kepada pemain, jadi saya cuma mahu berasa selesa apabila bertanding," ujarnya.

Menurut Chong Wei, selepas tamat Sukan Olimpik di Beijing, Ogos lalu beliau telah beraksi dalam tiga kejohanan Siri Super dan hanya ada tempoh seminggu untuk menghadapi Terbuka Malaysia, Januari depan.

Malah, Chong Wei juga mempunyai tempoh tidak sampai seminggu untuk persiapan Masters Final kerana baru menamatkan Grand Prix Kebangsaan Akhir di Alor Star, Sabtu lalu, yang mana dia mencatat rekod muncul juara buat kali ketujuh berturut-turut.

Peluang Chong Wei untuk bergelar juara pada edisi sulung kejohanan tampak cerah selepas pasukan China, yang diketuai juara Olimpik, Lin Dan menarik diri daripada menyertai kejohanan ini yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$$500,000 (RM1.81 juta).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51ESHMicG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan