Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei, Roslin mara ke suku akhir

ARKIB : 19/09/2008
KUALA LUMPUR - Pemain negara, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun selepas mengatasi tentangan sengit set kedua sebelum menang 21-7, 22-20 ke atas pemain tuan rumah, Sho Sasaki di Tokyo, semalam.

Mengiringi Chong Wei ke suku akhir hari ini ialah pemain veteran negara, Muhd. Roslin Hashim yang menewaskan bintang Thailand, Boonsak Ponsana 21-17, 21-15.

Beregu wanita negara, Chin Eei Hui- Wong Pei Ttyu turut mara apabila mudah menjinakkan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-12, 21-16

Namun, malang buat tiga lagi wakil negara yang terpaksa tunduk kepada lawan masing-masing.

Pasang muda negara, Mohd. Zakry Abd. Latiff-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari paling mengecewakan apabila tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Muhammad Ahsan-Bona Septano 15-21, 21-12, 17-21.

Perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo juga terkandas selepas tunduk kepada Maria Kristin Yulianti dari Indonesia 21-18, 13-21, 6-21.

Satu lagi wakil negara, gandingan beregu campuran Lim Khim Wah-Wong Pei Tty terpaksa akur dengan kehandalan pasangan Indonesia, Flandy Limpele-Greysia Polii 16-21, 11-21.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Chong Wei yang turun selaku pemain pilihan kejohanan tidak diberi tentangan pada set pertama untuk menang 21-7.

Namun, dia sedikit cemas apabila lawan mula memberikan tentangan di set kedua, namun pengalaman memihak kepada Chong Wei untuk menang 22-20.

Menurut Chong Wei, beliau keletihan kerana baru sahaja menamatkan aksi di Olimpik Beijing menyebabkan permainannya sedikit terjejas di set kedua.

''Saya hanya berehat selama seminggu selepas berakhirnya Sukan Olimpik Beijing.

''Tanpa rehat panjang saya terus menyambung latihan untuk kejohanan ini serta mahu mengambil bahagian dalam kejohanan sebanyak mana yang boleh.

''Saya hilang tumpuan dan permainan agak goyah selepas mendahului lawan 11-3 pada set kedua, ia menyebabkan saya mudah dipintas oleh Sasaki,'' kata pemain berusia 25 tahun itu.

Chong Wei akan berdepan pemain China dari pusingan kelayakan yang menduduki ranking ke-150 dunia, Qiu Yanbo di suku akhir hari ini.

Jika menang hari ini, menanti Chong Wei di separuh akhir ialah pilihan Indonesia yang juga pilihan keempat kejohanan, Taufik Hidayat atau pemain Denmark, Joachim Persson yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan.

Dalam pada itu, Roslin yang menang mudah ke atas Ponsana, semalam berdepan laluan sukar apabila bertemu pilihan kedua kejohanan, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di suku akhir.

Kuncoro mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain negara, Sairul Amar Ayob 21-8, 21-7.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50SZJBf57

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan