Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei ke separuh akhir


 

ARKIB : 20/09/2008
PEMAIN pilihan pertama kejohanan, Lee Chong Wei mara ke separuh akhir badminton Terbuka Jepun selepas menewaskan lawannya dari China, Qiu Yanbo dalam suku akhir di Tokyo, semalam.
- AFP

KUALA LUMPUR - Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum berjaya mengalahkan pemain China, Qiu Yanbo 21-17, 21-17 di peringkat suku akhir Terbuka Jepun untuk mara ke separuh akhir di Tokyo, semalam.

Selaku pemain pilihan utama, Chong Wei diberi tentangan sengit oleh pemain China itu di awal set pertama apabila ketinggalan 10-5 sebelum bangkit menyamai mata 13-13 seterusnya memenangi set pertama 21-17.

Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tidak diberi laluan mudah pada set kedua apabila masing-masing saling mendahului mata sehinggalah ke mata 17, Chong Wei tidak menoleh ke belakang lagi untuk menang 21-17.

Chong Wei akan bertemu pemain Denmark, Joachim Persson dalam separuh akhir hari ini selepas pemain pilihan keenam itu menjinakkan pemain Indonesia, Taufik Hidayat 12-21, 21-19, 23-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 53 minit itu.

Sementara itu, cabaran seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Muhd. Roslin Hashim tersekat di suku akhir selepas tewas kepada Sony Dwi Koncoro, 21-16, 21-11.

Sony akan bertemu pemain perseorangan tuan rumah, Kenichi Tago dalam satu lagi perlawanan separuh akhir selepas berjaya mengalahkan Lu Yi 21-18, 21-17.

Bagaimanapun, Chong Wei tidak keseorangan apabila beregu tunggal wanita negara Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut mara ke separuh akhir selepas mereka menumpaskan pasangan beregu Jepun Aki Akao-Tomomi Matsuda.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama setengah jam itu, Eei Hui dan Pei Tty menang dengan pungutan mata 21-13, 21-18.

Menurut Chong Wei, dia tidak mampu untuk membaca pergerakan pemain China itu kerana itu pertemuan pertamanya.

''Saya tidak pernah bertemu dengan dia sebelum ini dan saya tidak pasti bagaimana cara dia bermain.

''Saya tetap berpuas hati dengan tahap permainan saya hari ini dan saya mahu bermain baik setiap perlawanan dengan menggunakan segala kemahiran yang saya ada,'' kata Chong Wei.

Ditanya mengenai lawannya dari Denmark, Chong Wei berkata, dia cuba untuk menewaskan Persson sekali lagi dan dia melihat lawannya itu begitu agresif dalam kejohanan ini.

''Saya akan melakukan serangan terlebih dahulu dan saya sangat yakin,'' ujar Chong Wei.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50SbLUUbf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan