Rabu, 6 Disember 2017

Chong Wei, Koo-Tan hampiri gelaran

ARKIB : 05/10/2008

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei berjaya merapati gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Macau namun rakan senegara, Kuan Beng Hong gagal memastikan penguasaan Malaysia apabila terkandas pada separuh akhir perseorangan lelaki di Arena Venetian, Kota Macau, semalam.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama kejohanan hanya memerlukan 37 minit untuk menjinakkan pemain muda Indonesia, Alamsyah Yunus 21-13, 21-14 untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan bernilai AS$120,00 (RM413,460) itu.

Beng Hong yang kelmarin mengejutkan pemain veteran negara, Wong Choong Hann pada suku akhir, bagaimanapun tunduk kepada bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat, juga dari Indonesia 11-21, 12-21 selepas hampir setengah jam.

Taufik akan bertemu Chong Wei pada perlawanan akhir hari ini.

Inilah kesempatan terbaik buat Chong Wei menebus kegagalan bergelar juara berturut-turut dalam Sukan Olimpik Beijing dan Terbuka Jepun, masing-masing kepada pemain China, Lin Dan dan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada Ogos dan bulan lalu.

Nasib berbeza perseorangan lelaki turut menimpa dua beregu lelaki negara apabila Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menepati status pilihan utama untuk mara ke perlawanan akhir tetapi Chan Chong Ming-Chew Choon Eng terkandas pada separuh akhir.

Kien Keat-Boon Heong menewaskan pilihan keempat dari Indonesia, Fernando Kurniawan-Lingga Lie 21-14, 25-23 selepas 33 minit untuk menentang gandingan Chinese Taipei, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu yang mengatasi Chong Ming-Choon Eng 21-18, 14-21, 21-11.

Perseorangan wanita, Julia Wong turut meneruskan cabaran negara ke perlawanan akhir walaupun terpaksa mengharungi perlawanan selama sejam untuk mengejutkan pilihan keempat dari Hong Kong, Yip Pui Yin 17-21, 23-21, 21-17 pada separuh akhir.

Julia akan menentang pilihan ketiga dari Hong Kong, Mi Zhou yang menundukkan pemain China, Zhu Jingjing 20-22, 21-18, 21-16 namun pasangan negara, Ng Hui Lin-Woon Khe Wei dikalahkan Ma Jin- Wang Xiaoli dari China 12-21, 12-21 dalam separuh akhir beregu wanita.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50Wqr3od6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan