Sabtu, 16 Disember 2017

Pemain pelapis iringi Chong Wei

ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Dua pemain pelapis negara, Chong Wei Feng dan Mohd. Arif Abdul Latif menyelamatkan maruah Malaysia apabila berjaya mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, semalam.

Kemaraan Wei Feng dan Arif itu berjaya menggelakkan Malaysia daripada mengalami keputusan terburuk selepas lima wakil lain, termasuk dua lagi pemain senior, Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong tersungkur seawal pusingan pembukaan.

Sekiranya kedua-dua pemain muda ini gagal meneruskan cabaran, maka hanya Chong Wei yang akan menjadi satu-satunya perseorangan lelaki Malaysia pada pusingan kedua kejohanan bernilai AS$300,000 (RM1.07 juta) itu.

Kebanyakan pemain negara masih gagal menghasilkan keputusan terbaik meskipun tanpa kehadiran pemain utama dunia dari China dan Indonesia seperti Lin Dan, Chen Jin, Bao Chunlai, Taufik Hidayat serta Sony Dwi Kuncoro.

Semalam, Wei Feng dan Arif melayakkan diri ke pusingan kedua Siri Super buat kali pertama dalam karier mereka, manakala Chong Wei pula dipaksa berhempas pulas ketika melepasi cabaran pemain muda tuan rumah, Hong Ji Hoon.

Wei Feng, yang tersingkir pada pusingan pembukaan Terbuka Malaysia, minggu lalu, menewaskan pemain Korea, Kim Sa Rang 21-15, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan jaguh Indonesia, Simon Santoso.

Arif pula menumpaskan pemain India, Anand Pawar 21-14, 21-15 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia, Andre Kurniawan Tedjono.

Chong Wei yang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut dalam tempoh sebulan, bermula cemas apabila diheret beraksi dalam permainan tiga set ketika menang 21-11, 17-21, 21-15 ke atas Ji Hoon.

Menanti juara Masters Akhir dan Terbuka Malaysia itu hari ini adalah pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk yang mara selepas menyingkirkan pemain muda negara, Pei Wee Chung 21-14, 21-11.

Sementara itu, juara Seluruh England 2003, Hafiz, mengalami satu lagi kekalahan buruk - kurang seminggu selepas disingkirkan dengan cara yang sama pada Terbuka Malaysia.

Selepas ditumpaskan 21-15, 21-10 oleh Simon pada Terbuka Malaysia, Hafiz tunduk pula 13-21, 12-21 kepada Joachim Persson dari Denmark - kekalahan yang meningkatkan kebimbangan terhadap karier bekas pemain utama negara itu.

Dalam perlawanan lain, Beng Hong tumpas 12-21, 16-21 kepada Simon Santoso, Tan Chun Seang pula kalah mudah 15-21, 11-21 di tangan Sho Sasaki dari Jepun, manakala Sairul Amar Ayob tewas dalam pertarungan sengit dengan Koichi Saeki 24-22, 20-22, 14-21.

Cabaran Malaysia di Korea juga diteruskan oleh dua beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng.

Tan Fook-Wan Wah menewaskan pasangan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Kwon Yi Goo 21-17, 21-19 untuk bertemu naib juara Terbuka Malaysia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan dari Indonesia.

Chong Ming-Choon Eng juga menewaskan beregu Korea, Kim Ki Eung-Kim Ki Jung 23-21, 21-8 untuk berdepan satu lagi pasangan negara itu, Han Sang Hoon-Shin Baek Choel.

Malaysia turut menempatkan satu wakil dalam perseorangan wanita selepas Julia Wong menyingkirkan Aditi Mutatkar dari India 21-9, 21-15 untuk bertemu pilihan ketiga, Wang Chen dari Hong Kong.

Cabaran pemain remaja berusia 19 tahun, Lydia Cheah bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 9-21, 16-21 kepada Pia Zebadiah Bernadet dari Indonesia.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51TG3IjPN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan