Khamis, 14 Disember 2017

Lin Dan tetap No. 1 tapi Chong Wei digeruni

ARKIB : 09/01/2009
KUALA LUMPUR - Jaguh muda Korea Selatan, Park Sung Hwan menganggap juara Olimpik, Lin Dan tetap pemain No. 1 dunia meskipun bintang badminton China itu kini menghuni tangga kedua ranking dunia di belakang jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bagi Sung Hwan, Lin Dan merupakan pemain terbaik dan paling unggul ketika ini, dan ia terbukti dengan kemampuannya merangkul kejuaraan dunia, disusuli pingat emas Sukan Olimpik, tahun lalu.

Malah, jaguh China itu juga menjuarai dua kejohanan Siri Super tahun lalu - Terbuka China dan Switzerland, dan melepaskan takhta nombor satu dunia kerana terlepas banyak kejohanan utama.

Bagaimanapun Sung Hwan menegaskan, jaguh No. 1 Malaysia, Chong Wei, merupakan pemain yang digeruni, malah menyifatkan Lin Dan dan Chong Wei sebagai dua pemain terbaik ketika ini.

"Walaupun ranking Lin Dan sudah jatuh tetapi pada saya dia tetap pemain nombor satu dunia kerana dia adalah yang terbaik ketika ini.

"Bagaimanapun, Chong Wei adalah pemain yang digeruni dan menjadi pencabar terkuat Lin Dan. Saya rasa, Lin Dan dan Chong Wei adalah dua pemain terbaik dunia ketika ini, dan saya amat berharap dapat bertemu Chong Wei pada final Terbuka Malaysia," kata Sung Hwang selepas mengalahkan pemain negara, Kuan Beng Hong pada 21-23, 21-17, 15-3 pada pusingan kedua Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu lagi, selepas persaraan dua perseorangan senior, Lee Hyun Il dan Shon Seung Mo, dia kini memikul tugas sebagai pemain utama Korea, dan peranan baru yang dipegangnya itu tidak sedikit pun memberi tekanan, sebaliknya menaikkan lagi semangatnya untuk menyaingi Lin Dan dan Chong Wei.

Tegas Sung Hwan, dia tidak perlu berasa gemuruh atau meletakkan tekanan kepada diri sendiri, sebaliknya mahu berseronok dengan gelaran pemain No. 1, seterusnya menguatkan lagi fokus untuk merapatkan diri dengan dua pemain terbaik dunia.

"Saya memang tidak menjangka Lee Hyun Il dan Shon Seung Mo akan bersara serentak, pada awalnya berita itu amat mengejutkan tetapi saya sedar, ia lambat laun akan tiba juga, jadi saya kena sentiasa bersedia.

"Sekarang... saya hanya mahu bergembira dengan peranan baru sebagai pemain No. 1 negara, ia bukan satu tekanan, sebaliknya menaikkan lagi semangat saya untuk memburu gelaran. Sasaran saya tahun ini adalah cuba merangkul beberapa kejuaraan Siri Super," kata pemain No. 10 dunia itu lagi.

Pada suku akhir hari ini, Sung Hwang akan bertemu Chan Yan Kit dari Hong Kong, namun dia lebih senang bercakap mengenai pertemuan dengan naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, yang dijangka berlaku di separuh akhir esok.

"Saya yakin untuk mengalahkan Sony. Sebenarnya saya tidak bimbang dengan permainan Sony, malah saya amat yakin untuk melangkah ke final," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51Ibj5JKN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan