Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei perlu lebih agresif - Kok Chi

ARKIB : 08/09/2008
KUALA LUMPUR - Kejayaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meraih kedudukan pemain nombor satu dunia dilihat sebagai satu motivasi dan pembakar semangat untuknya terus melakar kejayaan lebih manis di masa depan.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, wira negara yang berjaya membawa pulang pingat perak dari Sukan Olimpik Beijing itu seharusnya lebih agresif untuk menjuarai sebanyak mungkin kejohanan yang disertai.

"Chong Wei perlu lebih berkerja keras untuk memastikan dia mampu memenangi lebih banyak kejuaraan pada masa depan.

"Hanya kemenangan yang boleh memberikannya peluang untuk memegang gelaran sebagai pemain terbaik dunia bagi tempoh yang lebih panjang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kok Chi berkata, dia berharap pemain kebanggaan itu tidak mudah terleka dengan pencapaian yang telah dikecapinya terdahulu, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi permainan.

Katanya, Chong Wei mungkin tidak banyak menghadapi persaingan sengit daripada pemain lain tetapi dia berkemungkinan bakal berhadapan persaingan sengit pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing, Lin Dan.

Beliau berkata, pemain utama negara itu seharusnya memperbaiki segera kelemahan yang ada pada dirinya dan berusaha mencari jalan terbaik untuk mengatasi pemain nombor satu China itu.

"Chong Wei tidak mempunyai banyak pilihan jika ingin mengekalkan kedudukan terbaik dunia itu untuk tempoh yang lebih panjang kerana dia pasti akan diberi tentangan sengit oleh Lin Dan pada kejohanan akan datang bagi menggugat kedudukan yang baru dimenanginya itu.

"Oleh itu, dia harus berfikir dan berbincang dengan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek bagi mencari formula serta strategi terbaik mengatasi Lin Dan.

"Saya melihat Lin Dan yang benar-benar memberi persaingan sengit kepadanya kerana pemain itu mempunyai pergerakan pantas, tepat dan berjaya mengawal gelanggang dengan baik.

"Tetapi, jika Chong Wei berjaya mengetepikan cabaran pemain China itu, dia pasti boleh mengekalkan kedudukan sebagai pemain terbaik dunia untuk tempoh yang lebih lama," katanya.

Ditanya sama ada kedudukan baru itu boleh mengganggu pemain itu menghadapi kejohanan besar, beliau berkata, dia yakin dengan keupayaan pemain tersebut menangani perkara tersebut dengan sebaiknya.

"Sebenarnya, kejayaan menjadi pemain nombor satu dunia akan meningkatkan semangat seseorang pemain untuk terus mencipta kejayaan besar.

"Ia seperti suntikan baru dan mampu memberi keyakinan yang lebih kuat terhadap keupayaan diri.

"Oleh itu, saya sangat berharap dia dapat mengekalkan prestasi baiknya dan memenangi sebanyak mungkin kejohanan yang disertai, terutamanya Kejuaraan Dunia tahun depan," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50NsrrRRS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan