ARKIB : 23/09/2008
LEE CHONG WEI
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton
negara, Datuk Lee Chong Wei menolak bahawa motivasinya sudah menurun selepas
tamat Sukan Olimpik, bulan lalu, sebaliknya memberitahu dirinya keletihan
ketika tewas kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dalam saingan akhir
Terbuka Jepun, kelmarin.
Selepas kalah mudah 17-21,
11-21 dan gagal mempertahankan kejuaraan, pemenang pingat perak Olimpik itu
mengakui, beliau tidak mampu memberi permainan terbaik kerana amat letih.
Malah, kata Chong Wei, beliau
juga demam beberapa hari sebelum berlepas ke Tokyo, namun tetap menggagahkan
diri beraksi kerana statusnya sebagai penyandang juara.
"Saya belum puas dengan
pencapaian saya dan sudah tentu saya mahukan lebih banyak kejuaraan. Pada saya,
tiada guna bergelar pemain nombor satu dunia kalau asyik kalah perlawanan.
"Tetapi ketika menentang
Sony, saya memang keletihan dan fizikal saya tidak berada pada tahap terbaik.
Bukan saya tidak mahu menarik diri tetapi selaku juara bertahan jurulatih mahu
saya turun beraksi.
"Bagaimanapun untuk
kejohanan China Masters (bermula esok), saya minta dikecualikan sebab saya
memerlukan rehat. Bukan saya mahu mengelak daripada bertemu Lin Dan, lagi pun
dia (Lin Dan) sendiri tidak beraksi pada kejohanan itu,'' jelas Chong Wei.
Chong Wei memberitahu, beliau
terpaksa mengharungi jadual latihan dan kejohanan yang amat padat dalam
persiapan menghadapi Temasya Beijing bulan lalu, termasuk beraksi pada Piala
Thomas di Jakarta, Mei lalu.
Ujarnya, sejurus berakhir
kempen Olimpik, dia terpaksa pula memenuhi undangan pelbagai majlis sambutan
dan hanya kembali memulakan latihan kurang dua minggu sebelum Terbuka Jepun
bermula.
Katanya, jika keadaan
mengizinkan, beliau akan kembali pada kejohanan Terbuka Macau, minggu depan,
namun semua bergantung kepada keadaan fizikal ketika itu.
Chong Wei, 25, terlepas membawa
pulang pingat emas Sukan Olimpik di Beijing, bulan lalu selepas tunduk mudah
12-21, 8-21 kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir.
Ketika ditanya apakah beliau
bimbang kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia akan terlepas dengan
keputusan menarik diri di China Masters, Chong Wei menegaskan, itu semua tidak
penting.
"Saya tidak kisah menjadi
pemain nombor satu dunia atau nombor dua dunia, yang paling penting pada saya
adalah merangkul kejuaraan.
"Apa pun, saya tidak fikir
Lin Dan mempunyai kelebihan dengan penarikan diri saya sebab dia juga tidak
bertanding di China Masters,'' katanya.
Chong Wei juga menjelaskan,
permainan Sony adalah biasa saja tetapi keadaannya yang tidak cergas
menyebabkan pemain utama Indonesia itu kelihatan cukup hebat di atas
gelanggang.
"Sudah tentu orang yang
menang nampak hebat, tetapi saya tidak mahu komen sangat tentang permainannya,
pada saya ia biasa saja tetapi saya yang tidak bagus,'' ujar Chong Wei.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50SwnottN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan