Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei harap tuah Borneo


 

ARKIB : 04/12/2008
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Walaupun tidak mempamer aksi meyakinkan sejak akhir-akhir ini, terutama berdepan bintang China, Lin Dan, namun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap semua akan berubah pada Kejohanan Siri Super Masters Final, 18-21 Disember ini di Kota Kinabalu, Sabah, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Dua tahun lalu, Chong Wei membawa memori indah di Kuching apabila muncul juara Terbuka Malaysia dengan menewaskan Lin Dan di final, dan dia berharap bumi Borneo akan terus memberi tuah bulan depan.

Undian akan diadakan pada 16 Disember ini, di mana lapan pemain yang layak akan dipecah kepada dua kumpulan. Juara Kumpulan A akan bertemu naib juara Kumpulan B, manakala juara Kumpulan B bertemu naib juara Kumpulan A.

Lin Dan yang menumpaskan Chong Wei untuk muncul juara Olimpik dan Terbuka China di Shanghai, bulan lalu berjaya melayakkan diri meskipun hanya beraksi dalam lima daripada 12 pusingan Siri Super.

Biarpun hanya berkedudukan ranking keenam dalam Siri Super, juara dunia itu tetap menjadi pilihan utama untuk membawa pulang kejuaraan yang menawarkan hadiah lumayan johan perseorangan AS$43,250 (RM156,565).

Turut mampu memberi cabaran kepada Lin Dan dan Chong Wei adalah jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade, juara Terbuka Hong Kong, Chen Jin dan dua pemain utama Indonesia, Sony Dwi Kuncoro serta Taufik Hidayat.

Meskipun kejohanan bakal menghimpunkan pemain-pemain handalan, namun ia tidak sedikit pun menggusarkan Chong Wei, yang tidak sabar untuk kembali ke Malaysia Timur, gelanggang yang dianggap mampu memberi tuah.

"Saya mempunyai memori yang indah di Malaysia Timur selepas memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia di Kuching, dua tahun lalu.

"Harap Borneo akan membawa tuah kepada saya sekali lagi. Cabaran memang tidak mudah tetapi saya mahu menutup tirai 2008 dengan kemenangan.

"Saya terpaksa tarik diri daripada Terbuka Hong Kong kerana kecederaan lama berulang, ia tidaklah terlalu serius tetapi saya memutuskan adalah lebih baik memberi tumpuan kepada Siri Super Masters,'' kata Chong Wei, yang dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut.

Kata Chong Wei lagi, selepas gagal membawa pulang emas Sukan Olimpik, kejohanan ini adalah yang kedua terpenting dan dia berharap untuk meraih gelaran pertama sejak bergelar nombor satu dunia.

Turut membawa cabaran Malaysia pada kejohanan di Kota Kinabalu nanti adalah bekas juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif (beregu lelaki), selain pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51BqcCJm2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan