Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei makin bersemangat

ARKIB : 05/12/2008
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya mengekalkan takhta nombor satu dunia pada ranking terbaru semalam, sekali gus menyuntik motivasi tambahan untuk memburu kejuaraan pertama dalam tempoh enam bulan pada Kejohanan Siri Super Masters Akhir, 18-21 Disember ini.

Walaupun musuh ketatnya, Lin Dan berjaya menjuarai Terbuka China dan mara ke final Terbuka Hong Kong pada dua kejohanan terakhir Siri Super, namun Chong Wei menerajui takhta dengan mengumpul 79,549 mata - 4,809 mata meninggalkan Lin Dan.

Juara Terbuka Hong Kong, Chen Jin kekal di ranking ketiga, diikuti jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, Peter Hoeg Gade (Denmark), Taufik Hidayat (Indonesia), Joachim Persson (Denmark), Bao Chunlai (China), Kenneth Jonassen (Denmark) dan Lee Hyun Il dari Korea.

Chong Wei tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan antarabangsa sejak muncul juara Terbuka Singapura, 15 Jun lalu, malah mengharungi prestasi tidak menentu sejak meraih pingat perak di Beijing, Ogos lalu.

"Ia amat penting buat saya untuk menamatkan kempen 2008 dengan kekal sebagai nombor satu dunia tetapi gelaran juga sangat penting kerana tiada guna bergelar nombor satu jika tiada kejuaraan. Lin Dan sudah kembali dengan lebih yakin dan dia tentunya akan menjadi pilihan utama di Kota Kinabalu nanti, namun saya dan jurulatih bekerja keras untuk mencari strategi yang lebih baik bagi mengatasinya.

"Saya akui tidak bermain baik ketika ini tetapi saya banyak belajar daripada kekalahan lalu. Saya menarik diri daripada Terbuka Hong Kong kerana kecederaan dan mahu memberi tumpuan kepada Masters Final, harap keputusan itu berbaloi,'' katanya.

Sementara itu siri kecederaan dan prestasi buruk yang melanda Wong Mew Choo menyebabkan perseorangan wanita negara itu terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia baik buat kali pertama.

Mew Choo, yang tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, minggu lalu jatuh ke ranking 11 dunia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51CbAQTtj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan