Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei mudah, Hafiz getir

ARKIB : 10/09/2008
KUALA LUMPUR - Status nombor satu dunia terus membawa tuah buat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei apabila menerima satu lagi undian mudah pada Kejohanan Badminton China Masters di Changzhou, 23-28 September ini.

Chong Wei tidak perlu berdepan lawan yang benar-benar mencabar, hinggalah pada separuh akhir, di mana jaguh muda tuan rumah dan pemain nombor empat dunia, Chen Jin bakal menanti.

Ini adalah kali kedua berturut-turut naib juara Sukan Olimpik itu memperoleh laluan yang selesa selepas turut diberikan undian mudah di Terbuka Jepun, 16-21 September ini, di mana dia turun untuk mempertahankan kejuaraan.

Di China Masters, kejohanan Siri Super yang menawarkan AS$200,000 (RM680,000), Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain muda tuan rumah, Li Yu.

Dia dijangka menentang pemain Denmark dan pilihan kelapan, Joachim Persson pada suku akhir sebelum bertemu Chen Jin atau seorang lagi jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade di separuh akhir.

Seorang lagi perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim menerima ujian awal yang getir apabila berdepan bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia di pusingan pertama, manakala Pei Wee Chung bertemu pemain Jepun, Sho Sasaki di pusingan pertama.

Dalam saingan beregu, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif bakal berdepan ujian sebenar sejak menjuarai Terbuka Singapura dan Indonesia dengan bertemu Hendra Aprida Gunawan-Joko Riyadi dari Indonesia.

Jika menang, ada tiga beregu berpotensi terpaksa dilepasi - dua beregu senegara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen atau He Hanbin-Shen Ye dari China.

Jika melayakkan diri ke separuh akhir, beregu nombor satu dunia, juara dunia dan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia pula akan menjadi pencabar beregu ketiga Malaysia itu.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memperoleh laluan awal yang agak mudah, hanya perlu berdepan pasangan utama China, Fu Haifeng-Cai Yun sekurang-kurangnya di separuh akhir.

Bagaimanapun mereka perlu melepasi cabaran Yonata Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan dari Indonesia di suku akhir atau dua pasangan senegara, Tan Bin Shen-Goh Wei Shem dan Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong.

Satu lagi pasangan negara, Hoon Thien How-Ong Soon Hock pula akan memulakan kempen dengan bertemu Haifeng-Cai Yun.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50Nzz08LH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan