Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei ketuai kemaraan

ARKIB : 22/11/2008
KUALA LUMPUR - Beregu muda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kembali menemui sentuhan terbaik mereka apabila mengejutkan pasangan nombor dua dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen untuk melayakkan diri separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Shanghai, semalam.

Cabaran Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM860,000) itu turut diteruskan oleh jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei.

Bagaimanapun beregu utama negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif tersingkir di suku akhir bersama perseorangan wanita, Julia Wong.

Selepas mengharungi musim 2008 yang lesu, Kien Keat-Boon Heong kembali mempamer aksi meyakinkan apabila menundukkan juara Eropah, Paaske-Rasmussen dari Denmark 19-21, 22-20, 21-14.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang pasangan nombor enam dunia itu untuk mencari tiket ke Final Siri Super di Kota Kinabalu, Sabah bulan depan.

Bagaimanapun cabaran Kien Keat-Boon Heong pada separuh akhir hari ini tidak mudah kerana bakal berdepan juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan, yang menang 21-13, 21-16 ke atas pasangan senior Malaysia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Chong Wei pula diberi tentangan sengit oleh pemain veteran senegara, Wong Choong Hann sebelum menang 21-19, 19-21, 21-10.

Naib juara 2007 itu kini akan menentang jaguh Korea, Park Sung Hwan, yang melakar kejutan terbesar ke atas pemain nombor tiga dunia, Chen Jin dari China 21-11, 13-21, 21-18.

Sementara itu Pei Tty-Eei Hui meneruskan kecemerlangan dengan menewaskan beregu tuan rumah, Xie Jing-Zhong Qianxin.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz518YLgJZk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan