Selasa, 12 Disember 2017

Ismail bersemuka dengan Misbun, Chong Wei

ARKIB : 16/11/2008
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR – Jurulatih badminton kebangsaan, Datuk Misbun Sidek dan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei mengadakan pertemuan peribadi dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam untuk menyerahkan laporan prestasi Chong Wei.

Walaupun masih belum berkesempatan untuk meneliti laporan tersebut, namun Ismail berjaya mendapatkan gambaran sebenar tentang kedudukan Chong Wei, yang sebelum ini mencetuskan kebimbangannya.

Bimbang dengan prestasi merudum jaguh nombor satu dunia itu pada Terbuka Jepun, Macau dan Perancis, Ismail semalam diberi penjelasan oleh Misbun dan Chong Wei sendiri mengenai apa sebenar berlaku.

“Memandangkan saya baru menerima laporan Misbun hari ini (semalam), saya belum dapat meneliti kandungannya tetapi kami ada berbual ringkas sebentar tadi dan mereka menerangkan secara lisan tentang situasi Chong Wei.

“Daripada apa yang saya diterangkan, masalah Chong Wei ketika ini lebih kepada soal tekanan menjadi pemain nombor satu dunia dan bukanlah masalah fizikal. Dia sepatutnya bermain dengan lebih relak dan tenang.

“Ketika ini, ISN (Institut Sukan Negara) telah memberikan khidmat pakar psikologi kepadanya. Pakar ini akan mengikuti Chong Wei dalam setiap kejohanan yang disertai, harap ia akan membantu menaikkan prestasinya,’’ kata Ismail selepas pertemuan di Putrajaya.

Kata Ismail lagi, laporan yang diserahkan oleh Misbun adalah merangkumi prestasi Chong Wei pada tiga kejohanan - Terbuka Jepun, Macau dan Perancis, namun tiada kaitan dengan Sukan Olimpik.

Minggu lalu, Ismail menyuarakan kebimbangannya terhadap prestasi Chong Wei, yang mengalami siri kekalahan pada tiga kejohanan tersebut, biar pun melangkah ke final di Jepun dan Macau, selain layak ke separuh akhir di Perancis.

Katanya, apa yang membimbangkan, Chong Wei kalah kepada dua pemain Indonesia, Taufik Hidayat dan Sony Dwi Kuncoro, pemain yang sebelum ini jarang menjadi masalah besar kepadanya.

“Dia kalah dua kali kepada Taufik, yang memiliki ranking lebih rendah daripadanya dan kepada Sony juga. Itu yang membimbangkan saya.

“Selepas ini dia akan beraksi pula pada Terbuka China (18-21 November), yang mana pemain-pemain utama China seperti Lin Dan akan kembali beraksi, jadi kita kena lakukan sesuatu untuk membantu Chong Wei daripada tidak terus merudum,’’ katanya lagi.

Sementara itu Misbun berkata, pertemuan dengan Menteri semalam terlalu singkat, namun beliau tetap berpuas hati dapat menerangkan keadaan sebenar.

Beliau percaya, Chong Wei masih berada di landasan yang baik tetapi hanya perlu mengawal perasaannya, dan beliau berharap kehadiran pakar psikologi ISN yang mula memantau pemain itu pada Terbuka Perancis, awal bulan ini akan membantu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail mengarahkan semua persatuan sukan kebangsaan menyerahkan laporan terperinci prestasi atlet mereka secara tetap setiap kali menyertai kejohanan antarabangsa.

Tegas Ismail, bukan hanya atlet dan sukan yang gagal perlu menyerahkan laporan, malah mereka yang membawa pulang kejayaan juga dikendaki menghantarnya.

Kenyataan Ismail itu didorong oleh sikap sebahagian besar persatuan sukan yang terlibat pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos lalu, yang sehingga kini masih gagal menyerahkan laporan mereka biar pun temasya sudah lebih tiga bulan berlalu.

“Kecuali Persatuan Badminton Malaysia (BAM), saya masih belum terima laporan daripada semua sukan yang terlibat dengan Sukan Olimpik, mereka sepatutnya menyerahkannya segera,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz517KVwCsE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan