Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei ketuai tujuh pemain


 

ARKIB : 03/12/2008
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai tujuh pemain badminton Malaysia yang layak ke pusingan akhir Masters Siri Super Dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.8 juta), di Stadium Tertutup Likas di Kota Kinabalu, Sabah dari 18-21 Disember ini.

Menurut senarai pemain yang telah layak dikeluarkan BWF, pemain-pemain lain yang layak dalam kelompok lapan terbaik bagi acara masing-masing adalah Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bagi beregu lelaki serta Wong Pei Tty-Chin Eei Hui (beregu wanita).

"Pusingan akhir Masters Siri Super BWF menjanjikan aksi penamat terbaik bagi tahun ini dengan lapan yang terbaik daripada Siri 2008 dalam kategori masing-masing dalam usaha meraih wang dan prestij. Kelayakan bagaimanapun hanya terhad kepada dua pemain atau pasangan dari sesebuah negara bagi setiap kategori," kata BWF dalam satu kenyataan, semalam.

Lapan pemain atau beregu yang layak dipilih daripada kedudukan 12 kejohanan Siri Super dan bukan daripada ranking dunia BWF.

Layak

Negara kuasa utama badminton, China masih menguasai senarai pemain yang layak dengan sembilan wakil pada pusingan akhir itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, disebabkan acara di Kota Kinabalu itu adalah pusingan akhir pertama bagi Siri Super, BAM sangat gembira apabila semua pemain utama Malaysia layak ke pusingan akhir itu.

"Malangnya, pemain perseorangan wanita utama kita, Wong Mew Choo tidak layak. Bagaimanapun, ia lebih baik untuk beliau kekal fokus, memulihkan kecederaan dan kembali dengan lebih baik musim depan," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, BAM telah menyesuaikan latihan pemain yang layak ke pusingan akhir itu kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kota Kinabalu boleh memberikan kelebihan atau tekanan kepada para pemain.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei menduduki senarai teratas dengan mengumpulkan 58,240 mata diikuti Chen Jin (China, 52,180 mata), Sony Dwi Kuncoro (Indonesia, 49,320), Joachim Perrson (Denmark, 47,400), Peter Gade (Denmark, 44,260), Lin Dan (China, 41,800), Taufik Hidayat (Indonesia, 41,580) dan Chan Yan Kit (Hong Kong, 32,160).

Bagi beregu lelaki Zakry-Mohd. Fairuzizuan pada kedudukan kedua dengan 61,600 mata manakala Kien Keat-Boon Heong di kedudukan kedua terakhir dengan 35,940 mata.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz519eomoUW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan