Selasa, 5 Disember 2017

Ujian awal Chong Wei

ARKIB : 17/09/2008
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bakal menerima ujian awal daripada pemain China, Zhu Weilun dalam usaha mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Jepun di Tokyo, hari ini, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Walaupun di atas kertas, Weilun tidak sepatutnya mampu memberi ancaman besar, namun pemain China itu nyaris mengejutkan Chong Wei ketika kali terakhir kedua-dua mereka bertemu pada Kejohanan Asia di Johor, April lalu.

Weilun, 26, yang terpaksa melalui proses kelayakan untuk menempah tiket ke pusingan pertama, mengheret Chong Wei ke permainan tiga set sebelum tewas 21-17, 16-21, 6-21 pada pertemuan lima bulan lalu.

Jika berjaya melepasi halangan Weilun, Chong Wei dijangka menentang jaguh England, Andrew Smith esok, sebelum berdepan bintang Indonesia dan juara baru Terbuka Taiwan, Simon Santoso di suku akhir.

Malaysia juga akan kehilangan seorang wakil dalam perseorangan lelaki hari ini apabila dua pemain KLRC, Lee Tsuen Seng dan Sairul Amar Ayob bertemu sesama sendiri dalam perlawanan pembukaan.

Mohd. Roslin Hashim, yang kempunan untuk menjuarai Terbuka Taiwan, minggu lalu akan memulakan kempen dengan menentang pemain Hong Kong, Chan Yan Kit.

Jaguh perseorangan wanita Malaysia, Wong Mew Choo turut turun gelanggang hari ini dan membuka kempen dengan menentang Yu Hirayama dari Jepun.

Perseorangan wanita nombor dua negara, Julia Wong pula berdepan cabaran sukar pemain Korea Selatan, Hwang Hye Youn pada pusingan pertama.

Cabaran Malaysia pada kejohanan Terbuka Jepun bertaraf Siri Super bernilai AS$200,000 (RM680,000) itu juga akan dimulakan oleh pasangan beregu campuran, Lim Khim Wah-Wong Pei Tty dan Mohd. Zakry Latif-Ng Hui Lin.

Khim Wah-Pei Tty akan memulakan saingan dengan bertemu pasangan China, Shen Ye-Pan Pan, manakala Zakry-Hui Lin berdepan beregu Korea, Yoo Yeon Seong-Kim Min Jung.

Sementara itu, hasrat pemain remaja negara, Pei Wee Chung untuk beraksi dalam undian utama tidak kesampaian apabila terkandas pada pusingan kelayakan, semalam.

Meskipun diletak sebagai pilihan keempat, Wee Chung, satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi pada pusingan kelayakan terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, 13-21 kepada pemain Jepun, Takuma Ueda.

Kongsi Konten di :


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50RWZz6s8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan