Khamis, 14 Disember 2017

Debaran akhir Chong Wei


 

ARKIB : 11/01/2009
Lee Choong Wei gembira setelah berjaya mengalahkan Peter Gade untuk mara ke pertandingan akhir hari ini.

KUALA LUMPUR - Jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memilih cara yang mendebarkan untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam apabila kalah pada set pembukaan, sebelum bangkit mencatat kemenangan untuk menghampiri kejuaraan kelima.

Pemain nombor satu dunia itu kalah 24-26 di set pertama tetapi mempamer semangat juang tinggi untuk menundukkan bintang veteran Denmark, Peter Hoeg Gade 24-26, 21-17, 21-13 dalam tempoh satu jam.

Malah, kehadiran jurulatihnya, Misbun Sidek yang baru saja keluar dari hospital beberapa hari lalu turut menyuntik semangat tambahan buat naib juara Olimpik itu, yang mengakui tidak mahu menghampakan gurunya.

Kemenangan ini bakal menemukan Chong Wei dengan bintang muda Korea dan pemain nombor 10 dunia, Park Sung Hwan, yang tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pencabar tidak ternama dari Taiwan, Hsieh Yu Hsin 21-13, 21-14 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Selepas menang mudah ke atas Gade dalam dua pertemuan terakhir mereka di Kejohanan Siri Super Masters Akhir, dua minggu lalu, Chong Wei dikejutkan dengan permainan pantas pemain Denmark itu pada set pertama, malah mengakui sudah terbayang kekalahan ketika ketinggalan 0-3 di set kedua.

"Saya terkejut Gade boleh bermain dengan baik dalam perlawanan ini, malah dia melakukan pukulan ke kiri dan kanan gelanggang sehingga mendorong saya melakukan banyak kesilapan.

"Semasa di Sabah (Masters Akhir) saya menang lebih mudah tetapi cabaran di Terbuka Malaysia keseluruhannya memang jauh lebih sukar, malah saya perlu bermain dalam permainan rubber-game sejak dari pusingan kedua hingga ke hari ini.

"Apa pun, keadaan tersebut tidak membimbangkan saya untuk berdepan Park Sung Hwan esok (hari ini). saya akui dia pemain yang berbahaya dan gemar menyerang tetapi saya percaya pertahanan saya juga baik, dan pada saya, siapa yang kurang melakukan kesilapan dia akan menang," kata Chong Wei.

Chong Wei, memenangi tujuh daripada lapan pertemuannya dengan Sung Hwan, malah menundukkan pemain muda berusia 22 tahun itu dalam dua pertemuan terakhir, tahun lalu - di Terbuka China dan Terbuka Switzerland.

Sementara itu Sung Hwan berkata, turun sebagai underdog dalam pertemuan hari ini meletakkan dia dalam keadaan lebih relaks untuk berdepan Chong Wei, yang diakui sebagai pilihan utama merangkul kejuaraan dengan mendapat sokongan padu penonton.

"Saya tiada tekanan kerana saya bukan pemain pilihan. Semua orang tahu Chong Wei adalah pilihan utama kejohanan, sedangkan saya turun sebagai underdog," kata Sung Hwan.

Sementara itu saingan beregu lelaki menyaksikan kejutan terbesar dengan juara Olimpik dan dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia tewas kepada beregu baru senegara, Alvent Yulianto- Hendra Gunawan. Turun sebagai penyandang juara, Markis- Hendra bagaimanapun tumpas 21-10, 23-25, 10-21.

Dengan ketiadaan pemain kebangsaan China, Korea Selatan mendominasi kejohanan bernilai AS$200,000 (RM700,000) apabila memiliki empat wakil dalam perlawanan akhir hari ini, diketuai juara Seluruh, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung, yang menundukkan pasangan England, Nathan Robertson-Anthony Clark 19-21, 21-17, 21-16 untuk bertemu Alvent-Hendra.

Dalam saingan beregu wanita, bekas juara Olimpik dan dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen terus menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Shendy Puspa Irawati-Meiliana Jauhari 21-10, 21-15.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IjFpPV3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan