Selasa, 12 Disember 2017

Menteri mahu laporan prestasi Chong Wei

ARKIB : 04/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) mengarahkan jurulatih perseo-rangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengemukakan laporan segera berhubung kemerosotan prestasi pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam Siri Super Terbuka Perancis, Sabtu lalu.

Beliau yang turut melahirkan kebimbangan dengan deretan kegagalan Chong Wei meraih sebarang gelaran sejak meraih pingat perak Sukan Olimpik, Ogos lalu, menganggap laporan itu perlu mendedahkan punca kemerosotannya supaya pemain itu tidak terus merudum dalam pertandingan berikutnya sepanjang tahun ini.

"Saya sendiri juga akan berjumpa Misbun dan Chong Wei sekembalinya mereka dari Perancis. Kita bimbang jika Chong Wei akan dihantui perasaan kurang yakin setiap kali dia kalah sehingga terus kalah dalam kejohanan lain walaupun dia sepatutnya sudah meningkat sejak Olimpik lalu," tegasnya.

Ismail Sabri pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah Peraduan Kebangsaan Kid Witness News di Mid Valley Megamall di sini, semalam, mengulas mengenai kekalahan Chong Wei dalam separuh akhir Terbuka Perancis kepada Taufik Hidayat di Paris, Sabtu lalu iaitu kali kedua di tangan lawan selepas Terbuka Macau.

Beliau juga menganggap Chong Wei sudah mendapat peluang dan rehat yang secukupnya sejak kembali daripada Olimpik Beijing malah wajar memanfaatkan penarikan dirinya daripada Terbuka Denmark, akhir bulan lalu untuk bangkit menebus kekalahan kepada pemain Indonesia itu di Paris.

"Dia tidak patut kalah kepada Taufik kerana ranking lawan di bawahnya malah sudah dua kali berlaku. Jika dia kalah kepada juara Olimpik dari China, Lin Dan, mungkin boleh diterima. Kita bimbang jika kekalahan ini jadi trend Chong Wei sehingga dia tidak mampu bergelar juara sebarang kejohanan terbuka lagi," ujarnya.

Pada 5 Oktober lalu, Chong Wei kempunan kejuaraan Terbuka Macau setelah dikalahkan pemain Indonesia itu 19-21, 15-21 dan separuh akhir Terbuka Perancis menyaksikan anak didik Misbun itu dihampakan lawan lagi dalam tempoh sebulan, 21-16, 14-21, 12-21.

Chong Wei akan bermain dalam baki dua kejohanan Siri Super tahun ini iaitu Terbuka China dari 18 hingga 23 November dan Terbuka Hong Kong dari 25 hingga 30 November yang mungkin menemukannya semula dengan Lin Dan malah mampu meragut posisi nombor satu dunianya.

Mengenai kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa persatuan itu mampu muflis sekiranya terus disaman oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana gagal membayar caruman pemain, kata Ismail Sabri: "Kementerian hanya mampu membantu sebarang persatuan sukan dari segi pembangunan sesebuah sukan.

"Jika hal-hal pentadbiran atau kewangan pun perlu dibantu, banyak lagi persatuan sukan yang akan turut memohon bantuan kementerian sampai tiada batasnya pula. Beliau juga perlu menyedari sudah menjadi sebahagian tanggungjawab pemimpin persatuan jika terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menggerakkan persatuan.

"Ini juga salah satu pengorbanan mereka kerana memasuki mana-mana persatuan sukan bukan sekadar untuk menyandang jawatan.''

Ismail bagaimanapun sedia mengkaji sekiranya PFA mengutus surat memohon bantuan tertentu kementerian dalam meringankan beban tunggakan caruman yang dikatakan hampir RM500,000 itu.

Shahidan pada Khamis lalu, turut mendakwa kerap mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai hampir 90 peratus perbelanjaan skuad Singa Utara khususnya dalam Liga Malaysia ekoran tidak mendapat sokongan penuh kerajaan negeri malah kini terpaksa cuba meminjam bank bagi melunaskan tunggakan tiga bulan gaji pemain.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz512lGsx00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan