Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei, Sony berentap - Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut ke final


 

ARKIB : 21/09/2008
Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir badminton Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain Denmark, Joachim Persson dalam separuh akhir di Tokyo, semalam. – Reuters

KUALA LUMPUR – Pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei mudah ke perlawanan akhir selepas menumpaskan lawannya dari Denmark, Joachim Persson 21-6, 21-4 dalam separuh akhir badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Chong Wei selaku pilihan utama kejohanan hanya beraksi selama 20 minit untuk menumbangkan lawannya yang juga pemain pilihan keenam.

Lawan Chong Wei pada perlawanan akhir hari ini ialah pemain pilihan kedua, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia yang menyingkirkan pemain tuan rumah, Kenichi Tago 21-15, 21-16.

Pertembungan antara Chong Wei dan Sony mengulangi pertemuan kedua-duanya di suku akhir Sukan Olimpik Beijing, bulan lepas yang menyaksikan kemenangan milik pemain negara.

Dalam aksi separuh akhir, semalam pemain nombor satu dunia berusia 25 tahun itu mempamerkan permainan bersemangat untuk mara mempertahankan gelaran Terbuka Jepun yang dimenanginya tahun lepas.

Set pertama menyaksikan Chong Wei memberi pengajaran berguna kepada pemain Denmark itu apabila meninggalkan lawannya 9-0 seterusnya 13-1 sebelum menang 21-6.

Kehebatan Chong Wei tidak mampu dibendung oleh Joachim di set kedua, apabila pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mendahului 16-1 sebelum menang 21-4.

Kejohanan Terbuka Jepun merupakan aksi pertama buat jaguh perseorangan negara itu sejak memenangi pingat perak di Beijing.

Chong Wei berpeluang memenangi kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM680,000) itu sekiranya berjaya mengekalkan rentak permainan seperti yang dipamerkan, semalam.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut cemerlang, apabila melangkah bergaya ke perlawanan akhir hari ini menumpaskan pasangan Indonesia Vita Marissa-Liliyana Natsir di separuh akhir.

Eei Hui dan Pei Tty selaku pilihan keempat menang 21-11, 18-21, 21-18 dan akan bertemu pasangan China, Cheng Shu-Zhao Yunlei di final.

Terdahulu beregu China itu menumpaskan pasangan tuan rumah, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna 21-15, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50Sft1FOf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan