Rabu, 13 Disember 2017

Pertemuan buku ruas

ARKIB : 23/11/2008
KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berpeluang menebus kekalahan kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik apabila dipertemukan lagi dengan jaguh China itu pada final Kejohanan Badminton Terbuka China di Shanghai, hari ini.

Ini merupakan pertemuan pertama dua pemain terbaik dunia itu sejak kali terakhir bertemu di Beijing tiga bulan lalu, yang mana Lin Dan menang 21-12, 21-8 untuk muncul juara Olimpik.

Semalam, Chong Wei dikejutkan dengan kekalahan 17-21 kepada pemain muda Korea Selatan, Park Sung Hwan pada set pertama sebelum bangkit untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-8, 21-7.

Lin Dan pula dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pemain muda senegara, Wen Kai 21-17, 18-21, 21-17 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui meneruskan kecemerlangannya apabila melangkah dalam perlawanan akhir ketiga berturut-turut.

Pei Tty-Eei Hui yang melayakkan diri dalam lima perlawanan akhir sepanjang 2008 mengalahkan pasangan Korea Selatan, Ha Jung Eun-Kim Min Jung 21-13, 11-21, 21-13.

Juara Terbuka Denmark dan pilihan kedua kejohanan itu kini akan berdepan pasangan tuan rumah dan pilihan kelima, Zhang Yawen-Zhao Tingting yang mengejutkan beregu nombor satu dunia, iaitu pasangan senegara, Du Jing-Yu Yang 21-18, 18-21, 21-14.

Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk melihat kebangkitan dipamerkan beregu muda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak kesampaian apabila anak buah Rexy Mainaky itu tewas mudah 17-21, 12-21 kepada juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz518dOy03b

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan