Rabu, 6 Disember 2017

Chong Wei, Koo-Tan ke suku akhir

ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei mengetuai barisan pemain Malaysia melangkah ke suku akhir Badminton Grand Prix Macau manakala perseorangan wanita, Wong Mew Choo terkandas dalam pusingan kedua, semalam.

Chong Wei selaku pilihan utama perseorangan lelaki kejohanan bernilai AS$120,000 (RM413,460), menewaskan pemain Thailand juga pilihan ke-14, Tanongsak Saensomboonsuk 22-20, 21-14 untuk menentang pemain China, Chen Hong yang menundukkan pemain Malaysia, Daren Liew 21-17, 21-19.

Pemain nombor dua Malaysia, Wong Choong Hann turut menempah tiket suku akhir dengan mengetepikan pilihan kesembilan dari Hong Kong, Ng Wei 21-16, 21-7 tetapi terpaksa berdepan rakan senegara, Kuan Beng Hong yang mara dengan menewaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam 22-20, 21-13.

Bagaimanapun cabaran pemain muda, Mohd. Arif Latif terkandas dengan tewas kepada pemain Indonesia, Alamsyah Yunus 16-21, 12-21 begitu juga Chong Wei Feng yang ditundukkan pemain Hong Kong dan pilihan kelapan, Chan Yan Kit 13-21, 21-23.

Mew Choo pula yang mara ke suku akhir Olimpik Beijing, Ogos lalu dan turun selaku pilihan utama, dikejutkan oleh pemain China, Zhu Jingjing 20-22, 15-21 namun rakan senegara, Julia Wong meneruskan kemaraan dengan mengatasi pemain Chinese Taipei, Shih Han Hung 21-17, 21-14.

Beregu kontroversi negara yang juga pilihan utama kejohanan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut melangkah ke suku akhir dengan melepasi tentangan rakan senegara, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang 21-12, 21-18 dalam pusingan kedua untuk menentang gandingan China, Chai Biao-Liu Xiaolong.

Satu lagi pasangan Malaysia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng juga mara dengan menundukkan rakan senegara, Hong Chieng Hun-Ng Kean Kok untuk menempah pertemuan seterusnya dengan Sun Junjie-Xu Chen dari China
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50TtkXqNx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan