Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei mahu pertahan takhta nombor 1

ARKIB : 17/11/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei perlu melangkah ke perlawanan akhir dalam dua perlawanan terakhir Siri Super tahun ini - Terbuka China (18-23 November ini) dan Terbuka Hong Kong (25-30 November) jika mahu menutup tirai 2008 sebagai pemain nombor satu dunia.

Dengan kepulangan semula bekas pemain nombor dunia, Lin Dan dari China dalam arena kompetitif selepas tiga bulan berehat, Chong Wei tidak boleh mengalami kekalahan awal atau bakal terlepas takhta nombor 1 andai lawannya itu berjaya memenangi kedua-dua kejohanan.

Mengakui ia tukas yang sukar, apatah lagi gagal merangkul sebarang kejuaraan antarabangsa sejak pulang dari Olimpik Beijing, Ogos lalu, namun Chong Wei memberi jaminan akan bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan.

"Lin Dan kena menang kedua-dua kejohanan - Terbuka China dan Hong Kong untuk merampas kedudukan nombor satu dunia, sambil berharap saya terkeluar sebelum saingan akhir, jadi saya tidak boleh tersingkir awal jika mahu mempertahankan kedudukan.

"Kita tidak tahu bagaimana kekuatan sebenar Lin Dan ketika ini kerana dia baru kembali ke pentas antarabangsa, malah beberapa pemain utama China juga mengambil rehat yang panjang selepas Sukan Olimpik, jadi keadaan sekarang memang sukar diramal.

"Sebaiknya saya tidak terlalu memikirkan apa keadaan lawan, sebaliknya fokus kepada kelemahan dan kekuatan sendiri. Saya sudah bekerja keras beberapa minggu ini dan walaupun hanya menang di Terbuka Johor yang merupakan sirkit tempatan, namun ia menjadi gelanggang pemanas badan yang amat baik buat saya," kata Chong Wei yang berlepas ke Shanghai awal pagi, semalam.

Chong Wei gagal merangkul sebarang kejuaraan dalam tiga kejohanan antarabangsa terakhir yang disertai, namun dia muncul naib juara di Terbuka Jepun dan Macau serta tersingir pada separuh akhir Terbuka Perancis.

Pada Terbuka China yang akan bermula esok, pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu akan memulakan cabaran dengan menentang pemain tuan rumah, Qiu Yanbo dan dijangka menentang jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade pada saingan suku akhir.

Juara Olimpik, Lin Dan yang pasti bersemangat untuk merampas kembali takhta nombor satu dunia dijangka berdepan cabaran bintang Indonesia yang kembali mendapat sentuhan juara, Taufik Hidayat pada saingan suku akhir.

Cabaran

Taufik yang mengejutkan Chong Wei pada Terbuka Jepun dan Macau akan memulakan cabaran dengan menentang jaguh Thailand, Boonsak Posana manakala Lin Dan bertemu pemain dari pusingan kelayakan.

Bagi jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek, kemunculan semula Lin Dan di arena antarabangsa menimbulkan tanda tanya, sama ada dia benar-benar sudah bersedia untuk memberikan cabaran terbaik seperti dulu atau tidak berada dalam kedudukan terbaik akibat berehat panjang.

"Kalau Lin Dan menggunakan tempoh tiga bulan rehat untuk berlatih, maka dia akan kembali dengan lebih berbahaya tetapi kalau dia lebih banyak berehat dalam tempoh tersebut, maka saya fikir dia tidaklah cergas seperti dulu.

"Kita tidak tahu, Lin Dan yang mana satu akan turun pada Terbuka China nanti. Apa pun saya harus memberi ingatan kepada Chong Wei supaya tidak hanya tertumpu kepada juara Olimpik itu, saya perhatikan ramai pemain China lain yang mula menonjol sepanjang ketiadaan Lin Dan.

"Lu Yi antara pemain muda China yang perlu diberi perhatian, selain Gong Weijie, yang saya anggap pemain paling berbahaya ketika ini. Chen Jin juga ada dalam undian, dan tidak boleh dilupakan, Taufik Hidayat yang telah menyusahkan Chong Wei dalam dua pertemuan terakhir mereka," kata Misbun.

Selain Chong Wei, cabaran perseorangan lelaki Malaysia di Shanghai akan turun dipikul jaguh Veteran, Wong Choong Hann pada ketika Muhammad Hafiz Hashim menarik diri kerana menerima kelahiran anak pertama.

Cabaran negara dalam beregu lelaki pula diketuai Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd. Fairuzizuan Tazari- Mohd. Zakry Latif, Choong Tan Fook- Lee Wan Wah, Chan Chong Ming- Chew Choon Eng, Hoon Thien How- Ong Soon Hock, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong, Hong Chieng Hun-wong Choong Hann, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah dan Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen.

Dalam perseorangan wanita, laluan Wong Mew Choo untuk mempertahankan kejuaraan tidak mudah apabila dijangka menentang Zhu Jingjing dari China pada pusingan kedua dan jika mara ke suku akhir, pemain nombor dua dunia, Zhou Mi dari Hong Kong bakal menjadi lawannya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz517yp7wca

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan