Khamis, 14 Disember 2017

Malaysia bermula baik

ARKIB : 19/12/2008
Oleh Siti NOR AZIZAH TALATA

BEREGU utama negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif tidak menghadapi masalah mengalahkan pasangan Denmark, Anders Kristiansen-Simon Mollyhus.

KOTA KINABALU - Jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengetuai permulaan baik pemain utama negara pada pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Siri Super Masters Final di Kota Kinabalu, semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu menumbangkan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade 21-19, 21-17 untuk mengetuai Kumpulan A selepas terdahulu menang mudah ke atas rakan senegara, Wong Choong Hann 21-14, 21-17.

Tiga beregu utama negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut memenangi perlawanan masing-masing.

Jaguh perseorangan wanita, Wong Mew Choo bagaimanapun gagal memulakan langkah dengan kemenangan selepas mengalami kecederaan lutut yang serius.

Namun, bekas juara Terbuka China itu masih mampu memberi tentangan sengit sebelum tunduk 12-21, 22-20, 20-22 di tangan pilihan keempat, Pi Hongyan dari Belanda.

Chong Wei yang menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan sulung selepas ketiadaan jaguh China, Lin Dan kini berada pada laluan yang selesa untuk mara ke separuh akhir dan akan berdepan Chan Yan Kit dari Hong Kong, hari ini.

"Peter memberikan tentangan cukup sengit pada set pertama tetapi sokongan penonton menaikkan semangat memberi aksi lebih baik pada set kedua.

"Pada mulanya saya tidak mahu letakkan sasaran dalam kejohanan ini tetapi melihat sokongan dan harapan penonton membuatkan saya mahukan kejuaraan ini,'' ujar Chong Wei.

Chong Wei kini menjadi harapan tunggal perseorangan lelaki Malaysia selepas Choong Hann tewas 18-21, 14-21 kepada Yan Kit pada perlawanan kedua.

Sementara itu, beregu utama negara, Fairuzizuan-Zakry memulakan aksi tanpa banyak masalah apabila menundukkan pasangan Denmark, Anders Kristiansen-Simon Mollyhus 21-18, 21-15 dalam saingan Kumpulan A.

Ujian sebenar beregu muda negara itu hanya akan tiba hari ini apabila berdepan juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

Satu lagi pasangan muda negara, Kien Keat-Boon Heong turut melepasi halangan awal dengan menundukkan pilihan keempat, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark 21-15, 21-12.

Bekas beregu nombor satu dunia itu bakal berdepan cabaran lebih sukar apabila bertemu juara Olimpik dan dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia pada saingan kedua Kumpulan B hari ini.

Malah, mereka juga bakal diuji bekas juara Olimpik dan dunia, Candra Wijaya-Tony Gunawan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.

Dalam saingan beregu wanita, juara Terbuka Denmark dan pilihan pertama, Pei Tty-Eei Hui turut bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan pasangan Denmark, Lena Frier Kristiansen-Kamilla Rytter Juhl 21-19, 21-17.

Cabaran Pei Tty bersama pemain muda, Lim Khim Wah dalam beregu campuran bermula baik apabila mengalahkan beregu Thailand, Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul

21-19, 17-21, 21-13.

Begitupun mereka tewas 22-20, 18-21, 15-21 kepada beregu Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl dalam perlawanan kedua.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51EewOKYu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan