Khamis, 14 Disember 2017

Chong Wei tetap pilihan, Taufik beri amaran

ARKIB : 18/12/2008
KOTA KINABALU - Ketiadaan bintang China yang diketuai juara Olimpik, Lin dan meletakkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan sulung badminton Siri Super Masters Final yang bermula hari ini.

Malah, kejohanan yang menawarkan hadiah AS$500,000 (RM1.81 juta) itu juga menjadi pentas terbaik buat Chong Wei untuk merangkul gelaran antarabangsa pertamanya sejak bergelar nombor satu dunia, 28 Ogos lalu.

Bagaimanapun dua bintang Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dan Taufik Hidayat serta jaguh Denmark, Peter Gade Christiansen mampu menjadi halangan terbesar buat naib juara Olimpik itu dalam usaha memburu gelaran di depan penyokong sendiri.

Christensen, juara Siri Super Terbuka Perancis dan Denmark bakal menjadi cabaran awal Chong Wei; juara Siri Super Terbuka Malaysia dan Singapura apabila kedua- duanya diletak dalam Kumpulan A.

Jaguh veteran negara, Wong Choong Hann dan pemain Hong Kong, Chan Yan Kit melengkapkan undian Kumpulan A.

Sony, juara Siri Super China Masters, Terbuka Jepun dan Indonesia pula mengetuai Kumpulan B bersama Taufik, Andrew Smith dari England dan pemain muda Denmark, Joachim Persson. Dua pemain teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

"Saya tidak meletakkan sasaran tetapi adalah bagus kalau dapat menutup tirai 2008 dengan kemenangan,'' kata Chong Wei, yang muncul juara Terbuka Malaysia 2005 di gelanggang yang sama - Stadium Tertutup Likas.

Sony menumpaskan Chong Wei pada babak akhir Terbuka Macau, Oktober lalu manakala Taufik pula menewaskan jaguh negara itu pada separuh akhir Terbuka Perancis dan final Terbuka Jepun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51Eab4MOY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan