Selasa, 19 Disember 2017

Chong Wei sedikit bimbang



 
ARKIB : 08/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
TUNKU Imran Tuanku Ja'afar menyematkan pin lapel Olimpik kepada Lee Chong Wei di Wisma Majlis Olimpik Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bimbang kehadiran Bao Chunlai dan gerombolan rakan senegaranya dari China yang bakal kembali beraksi dalam Siri Super Badminton Seluruh England di Birmingham, bulan depan.

Perseorangan lelaki negara ini menyifatkan Chunlai mungkin tidak diletakkan sebagai pemain pilihan pada kejohanan tertua dan berprestij dari 3 hingga 8 Mac di Arena Tertutup Kebangsaan itu sekali gus membayangkan mereka mampu bertembung seawal pusingan pertama lagi.

"Ramai pemain China lain bakal kembali beraksi termasuk Lin Dan (juara Olimpik) dan Chen Jin selepas menarik diri daripada Master Akhir (Disember), Terbuka Malaysia dan Korea (bulan lalu)," kata pemain nombor satu dunia ini selepas menerima pin lapel pemenang pingat Olimpik 2008 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Pin pemberian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kejayaannya meraih perak di Beijing, Ogos lalu itu disampaikan oleh Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar selepas mesyuarat Majlis MOM dan Perhimpunan Tahunan Duta Muhibah Sukan MOM Keempat.

Senarai pemain yang dikeluarkan penganjur Seluruh England pada 29 Januari lalu turut menyaksikan ketiadaan nama pemain Korea Selatan yang juga pemain nombor lapan dunia, Park Sung Hwan tetapi ia tidak sedikit pun menggusarkan Chong Wei, naib juara Terbuka Korea itu berbanding pemain China.

Undian Seluruh England bagaimanapun hanya akan dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 17 Februari ini manakala penetapan kedudukan pemain ialah lima hari sebelumnya.

Turut menemani Chong Wei dalam mendukung cabaran negara di Birmingham ialah Wong Choong Hann, Sairul Amar Ayob, Lee Tsuen Seng, Kuan Beng Hong, Chong Wei Fen, Liew Daren dan Pei Wee Chung.

Chong Wei sekadar berada di separuh akhir Seluruh England tahun lalu setelah kalah 18-21, 18-21 kepada Chen Jin yang kemudiannya bergelar juara dengan menewaskan Lin Dan 22-20, 25-23. Hafiz Hashim menjadi pemain terakhir Malaysia menjuarainya pada 2003.

Mengenai program latihan menjelang ke Seluruh England ketika ini, Chong Wei yang juga juara Terbuka Malaysia dan Master Final di Kota Kinabalu akan lebih menekankan soal kecergasan dan kemahiran tetapi cuba untuk mengurangkan pergerakan di gelanggang bagi mengelakkan kecederaan mengejut.

Sementara itu, MOM mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Atlet yang mengandungi enam pemain yang berhak menyuarakan pandangan mereka secara terus sekali gus membantu membuat keputusan dalam mesyuarat lembaga badan induk itu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51hpadGNy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan