Jumaat, 15 Disember 2017

Chong Wei masih berseorangan


 

ARKIB : 13/01/2009
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
Aksi spontan dari Lee Choong Wei setelah berjaya menundukkan Park Sung Hwan pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, kelmarin. Hanya beliau mampu muncul juara manakala acara lain gagal menyinar.

KUALA LUMPUR - Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin memberi kepuasan kepada peminat badminton tanah air selepas penamatnya menyaksikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menggondol kejuaraan kelima dalam tempoh enam tahun.

Kemenangan itu bukan saja mengukuhkan kedudukan Chong Wei sebagai pemain No. 1 dunia, malah meleraikan sebahagian besar beban yang selama ini disandangnya sebaik tamat Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu.

Bagi Chong Wei, 26, ia kisah gembira untuk memulakan tahun 2009 yang serba mencabar dengan kejuaraan dunia bakal menanti di Pune, India, Ogos ini dan sebelum itu, kejohanan prestij, Seluruh England pula akan tiba di Birmingham, Mac ini, di mana dia mahu menjadi juara buat kali pertama.

Namun bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hasil Terbuka Malaysia secara keseluruhannya bagaikan mengulangi kisah 2008. Hanya Chong Wei yang boleh diharap untuk menggalas harapan besar.

Tanpa kehadiran gergasi badminton dunia, China, Malaysia masih gagal menempatkan wakil dalam beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran bukan saja di babak akhir, malah sejak di separuh akhir lagi.

Situasi pasukan negara jelas amat ketinggalan jika dibandingkan dengan pencabar utama seperti Korea Selatan dan Indonesia, yang masing-masing mempunyai empat wakil pada separuh akhir.

Ketika saingan memasuki peringkat akhir pula, Korea menempatkan empat wakil daripada lima acara, manakala Indonesia dua. Dan, pada akhirnya, Korea berjaya membawa pulang dua gelaran dalam beregu lelaki dan wanita.

Pada ketika cabaran pemain senior seperti Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim atau Mohd. Roslin Hashim semakin diragui peminat, harapan mereka adalah untuk melihat adanya bintang baru daripada barisan pelapis menyinar dan memberikan harapan baru.

Darren Liew berjaya mencuri tumpuan seketika apabila melangkah ke suku akhir hanya dalam penampilan keduanya pada kejohanan Siri Super, namun akhirnya apabila bertemu jagoan sebenar - Peter Hoeg Gade dari Denmark, dia terkulai mudah, 12-21, 14-21 di suku akhir.

Rakan-rakan seangkatan lain, Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Pei Wei Chung dan Mohd. Arif Latif semuanya tersungkur awal dan belum menunjukkan tanda-tanda mampu melakar kejutan dalam tempoh terdekat.

Kumpulan pemain senior seperti Hafiz, Choong Hann, Roslin, Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng pula semakin tenggelam dan membuka jurang yang besar dengan kelompok utama dunia, mungkin atas faktor umur, faktor skil atau apa jua faktor lain.

Hakikatnya, pada Terbuka Korea yang bermula esok, atau kejohanan utama lain, terutama Seluruh England yang akan berlangsung Mac ini, sukar untuk kita membayangkan perseorangan Malaysia lain mampu menaiki podium selain Chong Wei.

Cerita Malaysia dalam beregu lelaki mungkin lebih baik biarpun gelaran gagal dihasilkan oleh deretan beregu mudanya, diketuai pasangan terbaik ketika ini, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Ketiadaan pasangan nombor satu negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif yang tidak beraksi akibat kecederaan turut menipiskan peluang meraih kejuaraan.

Namun, prestasi Kien Keat-Boon Heong tidaklah terlalu membimbangkan kerana mereka memberi cabaran yang baik ketika tewas kepada 13-21, 21-17, 19-21 kepada beregu Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung, yang akhirnya muncul juara.

Malah, pasangan muda, Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong juga mempamerkan aksi meyakinkan sebelum kalah kepada beregu handalan dari Indonesia dan Denmark.

Dalam bahagian beregu, Malaysia punya ramai pemain yang baik, yang hanya perlu dipertajam dan ditingkatkan kualiti sebelum mampu menghadirkan saingan yang besar kepada pasangan utama dunia.

Ini mengambil sedikit masa, namun sekurang-kurangnya ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky lebih bernasib baik berbanding rakan sejawatnya dalam perseorangan, Rashid Sidek kerana memiliki material yang cukup bagus untuk digilap.

"Kita sekarang ada kuantiti dalam beregu lelaki, cuma kurang kualiti tetapi kalau diberi sedikit masa, saya percaya kualiti itu akan dipertingkat,'' ujar Rexy penuh optimis.

Bagi beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui masih setapak di belakang pasangan utama China dan Korea, meskipun menunjukkan peningkatan yang besar sejak akhir-akhir ini, termasuk merampas takhta no. 2 dunia selepas bergelar juara Terbuka Denmark dan Masters Akhir.

Hakikat yang pahit untuk ditelan tetapi perlu diterima, status nombor dua dunia yang dipegang sebenarnya tidak segah prestasi sebenar Pei Tty-Eei Hui, yang masih mempunyai jurang dengan pasangan handalan seperti Du Jing-Yu Yang (China), Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung (Korea) atau Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing (Taiwan).

Malah, anak didik Rexy ini juga sebenarnya masih belum mampu menyaingi kehandalan dan pengalaman bekas juara dunia yang kini dianggap pemain terpinggir China seperti Zhang Jiewen-Yang Wei dan Gao Ling-Wei Yili.

Kedua-dua kejuaraan Siri Super yang dimenangi Pei Tty-Eei Hui sebelum ini dirangkul tanpa berdepan pasangan-pasangan ini, justeru mereka terpaksa mengakui bahawa banyak lagi yang perlu dipertingkatkan jika benar-benar mahu menganggotai kelompok beregu elit dunia.

Tanpa kehadiran Wong Mew Choo, Malaysia juga gagal menghadirkan cabaran terbaik dalam perseorangan wanita. Namun, ada sinar yang ditunjukkan dua pemain muda - Julia Wong dan Lydia Cheah apabila semakin yakin memberi cabaran kepada pemain utama untuk sekurang-kurangnya menghampiri Mew Choo.

Malaysia juga punya potensi untuk memberi cabaran dalam beregu campuran menerusi kombinasi seperti Koo Kien Keat-Ng Hui Lin dan Hoon Thien How-Chin Eei Hui yang berjaya melangkah ke suku akhir dan mengejutkan pemain pilihan dalam laluan mereka.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51NVOkbs6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan