Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei cemas sebelum mara

ARKIB : 18/09/2008
 
PEMAIN utama negara, Lee Chong Wei berjaya menewaskan lawannya, Zhu Weilun dalam badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
- AFP

KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengharungi aksi awal mencemaskan sebelum bangkit menundukkan pemain China, Zhu Weilun dalam perlawanan pembukaan badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Turun dengan misi mempertahankan gelaran, Chong Wei bagaimanapun ketinggalan 18-20 di set pertama, sebelum bangkit mengejar Weilun untuk mencatat kemenangan 25-23, 21-8.

Ini merupakan perlawanan pertama buat jaguh perseorangan negara itu sejak memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, bulan lalu dan pertemuan kedua menentang Weilun, tahun ini.

Weilun pernah mengheret Chong Wei bertarung dalam perlawanan sukar tiga set ketika kedua-dua mereka bertemu kali terakhir di Kejohanan Asia, April lalu.

"Saya memang pemain yang sering bermula perlahan pada perlawanan pembukaan, lagi pun lawan saya bermain dengan amat baik hari ini.

"Selepas berjaya memenangi set pertama, saya kembali menemui rentak permainan. Set kedua berjalan seperti diharap dan keputusan menjadi lebih mudah,'' ujar Chong Wei.

Chong Wei juga melaungkan keyakinan mampu melangkah jauh pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM680,000) itu sekiranya berjaya mengekalkan rentak permainan.

Pemain berusia 26 tahun itu akan ditentang pencabar dari Jepun, Sho Sasaki pada pusingan kedua hari ini. Sasaki mara selepas mengejutkan jaguh England, Andrew Smith 26-24, 23-21.

Cabaran Malaysia juga diteruskan oleh perseorangan veteran Nusa Mahsuri, Muhd. Roslin Hashim yang bertarung selama 50 minit untuk menewaskan pemain berpengalaman Hong Kong, Chan Yan Kit 18-21, 21-19, 21-13.

Roslin, 33, yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Terbuka Taiwan minggu lalu, kini akan berdepan cabaran sukar jaguh nombor satu Thailand dan pilihan ketujuh, Boonsak Ponsana.

Seperti Roslin, Boonsak juga berkerja keras untuk mengetepikan pemain tuan rumah, Hiroyuki Endo 15-21, 23-21, 21-13.

Pemain KLRC, Sairul Amar Ayob pula mengetepikan cabaran rakan senegara dan sekelab, Lee Tsuen Seng 21-17, 21-18 untuk melangkah ke pusingan kedua.

Sairul yang turun sebagai pemain bukan pilihan bakal berdepan naib juara dunia dan pilihan kedua dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada pusingan kedua.

Semalam, Sony tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pertama apabila menang mudah 21-11, 21-8 ke atas pemain pusingan kelayakan, Koichi Saeki dari Jepun.

Rakan senegara Sony dan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat pula mencapai kemenangan lebih mudah ke atas jaguh veteran Hong Kong, Ng Wei apabila lawannya menarik diri ketika dia sedang mendahului 21-19, 14-4.

Taufik, pilihan keempat akan bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen yang mara selepas mengetepikan Takuma Ueda dari Jepun 21-15, 21-12.

Sementara itu, jaguh perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo turut bergelut untuk melepasi halangan awal ketika menumpaskan pemain tuan rumah, Yu Hirayama 21-16, 8-21, 22-20.

Mew Choo yang masih mencari kejuaraan Siri Super kedua selepas menjuarai Terbuka China, November tahun lalu, akan menentang ratu badminton baru Indonesia, Maria Kristin Yulianti.

Kemaraan Mew Choo bagaimanapun gagal diteruskan rakan sepasukan, Julia Wong yang tewas 17-21, 21-9, 21-16 kepada pemain Korea Selatan, Hwang Hye Youn.

Dalam beregu campuran, kombinasi pemain remaja dan senior, Lim Khim Wah-Wong Pei Tty layak ke pusingan kedua selepas menumpaskan pasangan China, Shen Ye-Pan Pan 23-21, 12-21, 21-15, sekali gus menempah pertemuan dengan beregu Indonesia, Flandy Limpele-Greysia Polii.

Pasangan Mohd. Zakry Latif-Ng Hui Lin, bagaimanapun kandas di pusingan pertama selepas memberi tentangan sengkit kepada beregu Korea, Yoo Yeon Seong-Kim Min Jung sebelum tewas 23-21 26-28 12-21.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50RoIoAwK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan