Sabtu, 16 Disember 2017

Chong Wei jumpa Sung Hwan lagi

ARKIB : 16/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengulangi perlawanan akhir Terbuka Malaysia minggu lalu apabila bakal menentang bintang muda Korea, Park Sung Hwan sekali lagi pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea, hari ini.

Kemaraan Malaysia pada kejohanan lumayan bernilai AS$300,000 (RM1.07 juta) itu turut diteruskan oleh beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menumpaskan naib juara Terbuka Malaysia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan dari Indonesia 11-21, 21-16, 21-19.

Begitupun cabaran empat lagi wakil negara, Chong Wei Feng, Mohd. Arif Abdul Latif, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan perseorangan wanita, Julia Wong berakhir semalam.

Selepas berhempas pulas untuk melepasi pusingan pembukaan kelmarin, juara Terbuka Malaysia, Chong Wei mengharungi perlawanan yang lebih mudah pada pusingan kedua selepas mengalahkan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand 21-14, 21-9 dalam masa 20 minit.

Sung Hwan, pemain No. 8 dunia juga mencatat kemenangan mudah dalam laluan ke suku akhir apabila menundukkan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-12, 21-4.

Walaupun menang lapan daripada sembilan pertemuannya ke atas Sung Hwan, namun Chong Wei perlu berhati-hati apabila berdepan jaguh muda Korea itu sekali lagi kerana dia bakal beraksi di gelanggang sendiri.

Malah, pemenang pingat perak Olimpik itu tidak mempunyai rekod baik sepanjang penyertaannya di Seoul, di mana pencapaian terbaik Chong Wei hanya layak ke suku akhir pada 2007 dan 2004.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51TmNlKQr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan