Rabu, 6 Disember 2017

Chong Wei ketuai cabaran negara di Terbuka Macau

ARKIB : 30/09/2008
KUALA LUMPUR - Pada ketika umat Islam di tanah air menyambut Hari Raya bersama keluarga, esok tiga pemain badminton negara terpaksa bermandi peluh di gelanggang apabila memulakan kempen pusingan pertama Terbuka Macau.

Bagi Mohd. Arif Abdul Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Mohd. Lutfi Zaim Abdull Khalid, terpaksa berada di atas gelanggang badminton pada hari pertama sambutan Hari Raya bukanlah satu pengalaman yang menggembirakan.

Mengakui sedih kerana tidak dapat bersama keluarga tercinta pada hari istimewa itu, namun mereka akur bahawa pengorbanan perlu dilakukan jika mahu berjaya.

Bagi Arif, 19, ini merupakan kali pertama dia tidak berada di samping keluarga di Hari Raya dan lebih menyedihkan lagi dia terpaksa turun ke gelanggang pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

"Saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga sepanjang 19 tahun menyambut Hari Raya, ini adalah kali pertama saya tidak bersama mereka dan memang saya rasa sangat sedih.

"Bagaimanapun saya akur, pengorbanan harus dilakukan kalau saya mahu berjaya. Pada saya, badminton adalah masa depan saya, jadi saya kena berkorban demi masa depan,'' kata Arif ketika dihubungi di Macau, semalam.

Kata anggota skuad Piala Thomas 2008 itu lagi, alang-alang terpaksa berkorban, dia mahu memberi permainan terbaiknya dengan cuba melangkah sejauh mungkin pada Kejohanan GP Emas itu.

Mengakui laluan tidak mudah kerana terpaksa menentang pilihan ke-13, Eric Pang dari Belanda pada pusingan pembukaan, Arif bagaimanapun berkata, beraksi pada Hari Raya pertama akan memberi motivasi tambahan kepadanya.

"Alang-alang saya jauh daripada keluarga dan tidak dapat sambut Hari Raya, lebih baik saya memberikan aksi terbaik di sini,'' katanya.

Kesedihan Arif bagaimanapun sedikit terubat apabila turut ditemani dua rakan senasib, Iskandar dan Muhd. Lutfi.

Iskandar akan memulakan cabaran perseorangan lelaki dengan menentang pemain tuan rumah, Kou Ka Seng, malah dia juga turun beraksi dalam acara beregu bersama Kuan Kam Chung pada pusingan kelayakan hari ini.

Lutfi pula akan berganding dengan Lim Yin Loo dalam beregu campuran. Pasangan remaja negara ini memulakan kempen dengan berdepan beregu Hong Kong dan pilihan kelima, Lo Lok Kei-Ng Ka Shun pada pusingan pertama esok.

Pada ketika Arif, Iskandar dan Lutfi bakal berdepan pengalaman Hari Raya yang baru, pemain senior negara, Muhammad Hafiz Hashim memilih menarik diri daripada kejohanan untuk bersama keluarga.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki di Macau diketuai pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Kuan Beng Hong, Kuan Kam Chung, Liew Darren, Pei Wee Chung, Lok Chong Chieh, Tan Chung Seang, Chong Wei Feng, Beryno Jiann dan Chan Kwong Beng.

Pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula berdepan peluang terbaik untuk merangkul gelaran sulung tahun ini apabila diletak sebagai pilihan pertama beregu lelaki, dan akan menentang pasangan Taiwan, Chu Han Chou-Hsueh Hsuan Yi pada pusingan awal.

Malaysia juga akan diwakili pasangan senior, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, juara remaja Asia, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah, Hong Chieng Hun-Ng Kean Kok, Goh Wei Shem-Ong Jien Guo dan Chow Pak Chuu-Poh Chai Boon.

Dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo menjadi sandaran terbaik negara apabila turun sebagai pilihan pertama. Malaysia juga diwakili Lydia Cheah dan Julia Wong.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TcVlgpo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan