Selasa, 12 Disember 2017

Chong Wei, Mew Choo terlalu kebal

ARKIB : 15/11/2008
Oleh Kamil Maslih
 
LEE Chong Wei (kiri) dan Wong Mew Choo bersama replika cek masing-masing selepas menjuarai badminton Terbuka Johor, malam tadi.

JOHOR BAHARU - Jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei menepati status pemain pilihan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton Terbuka Johor 2008 di sini, semalam.

Kejuaraan tersebut melayakkan Chong Wei beraksi pada Grand Prix Kebangsaan di Alor Star, Kedah pada Disember ini dan berpeluang memecah rekod kejuaraan jurulatihnya, Misbun Sidek yang memenangi tujuh kejuaraan Grand Prix tempatan.

Selaku pemain nombor satu dunia, Chong Wei ternyata bukan tandingan Mohd. Arif Latif apabila menang mudah 21-12, 21-10 dalam masa 23 minit.

Chong Wei menyifatkan perlawanan akhir yang menemukan beliau dan Mohd. Arif satu perlawanan yang menarik.

''Perlawanan antara pemain senior dengan junior ini merupakan pendedahan yang baik untuk Arif yang masih muda,'' katanya yang membawa pulang RM4,000.

Menurut Chong Wei, tumpuannya kini adalah Terbuka China yang akan bermula minggu ini dan Terbuka Hong Kong.

Turut mengesahkan kejuaraan ialah pemain wanita nombor satu negara Wong Mew Choo yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Julia Wong dengan straight set 21-17, 21-19.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan veteran negara Choong Tan Fook-Lee Wan Wah membuktikan mereka masih bertenaga apabila muncul juara selepas mengalahkan beregu muda Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Tan Fook-Wan Wah yang kini bergelar profesional bagaimanapun diberi tentangan sebelum menang 19-21, 21-18, 21-19 dalam masa 50 minit.

Sementara acara beregu wanita menyaksikan pilihan kedua kejohanan, Goh Liu Ying-Ng Hui Lin dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas gandingan Chong Sook Chin-Woon Khe Wei 21-19, 17-21, 21-15

Kejuaraan beregu campuran milik pasangan Koo Kien Keat-Ng Hui Lin apabila menang 21-11, 22-20 ke atas gandingan Ong Jian Guo-Goh Liu Ying.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5174LUEkA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan