Ahad, 10 Disember 2017

Rakan senegara halangan Chong Wei


 

ARKIB : 08/10/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing, Datuk Lee Chong Wei akan memulakan kempen Terbuka Denmark dengan menentang pemain senegara, Sairul Amar Ayob.

Andai kata menang dalam pertemuan tersebut, lawan yang bakal menanti Chong Wei di pusingan kedua juga pemain senegara Muhammad Hafiz Hashim, jika pemain itu berjaya menjinakkan pemain India Arvind Bhat di pusingan pertama.

Sementara itu, Wong Choong Han pula berdepan dengan laluan sukar selepas dijadualkan bertemu dengan pemain pilihan kelapan, Taufik Hidayat dari Indonesia, pemain yang pernah ditewaskannya pada pusingan kedua Sukan Olimpik Beijing.

Rangkaian pemain China dijangka tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas masing mendapat laluan mudah dengan Chen Jin akan menentang Jan O Jorgensen dari Denmark manakala Bao Chunlain berdepan dengan pemain Singapura, Kendrick Lee.

Pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo yang diletakkan sebagai pilihan kelapan bakal bertemu dengan Susan Hughes dari Scotland dan lawan Mew Choo selepas itu sama ada pemenang di antara Wang Chen (Hong Kong) atau Adrianti Firdasari.

Dalam pada itu, empat pasangan beregu lelaki negara dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi pusingan pertama selepas masing-masing akan bertemu dengan lawan tidak ternama dari Eropah.

Pasangan Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong akan menentang beregu Jerman, Michael Fuchs-Ingo Kindervetar, sementara Mohd. Zakry Abdul Latiff-Mohd.Fairuzizuan Mohd. Tazari pula berdepan beregu England, Robert Adcock-Robin Middleton.

Satu lagi pasangan beregu negara Mohd. Razif Abdul Latiff-Tan Wee Kiong akan bertemu dengan gandingan Poland, Michal Logosz-Robert Mateusiak.

Acara beregu wanita pula menyaksikan pasangan utama negara Chin Eei Hui-Wong Pei Tty juga tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan beregu Sweden, Emelie Lennartsson-Emma Wenberg manakala Ng Hui Lin-Woon Khe Wei akan bertemu dengan Nicole Grether (Jerman)-Charmaine Reid (Canada).

Bagaimanapun, agak sukar bagi pasangan beregu campuran negara, Mohd. Razif Abdul Latiff-Choong Sook Chin apabila mereka diundi bertemu dengan pasangan pilihan kedua dari China, He Hanbin-Yu Yang.

Lim Khim Wah-Wong Pei Tty akan bertemu rakan senegara, Koo Kien Kiat-Ng Hui Lin, sementara Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei menanti pemain peringkat kelayakan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50rskbo4n

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan