Selasa, 5 Disember 2017

Chong Wei kembali gilap stamina

ARKIB : 12/09/2008
KUALA LUMPUR - Mengakui tahap kecergasannya sudah agak menurun, jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei kini menumpukan usaha untuk meningkatkan kecergasan menjelang Terbuka Jepun, minggu depan.

"Sejak dua dan tiga minggu ini latihan ditumpukan untuk membina kembali kecergasan dan stamina yang saya perlukan untuk kejohanan pembukaan Siri Super itu," kata Chong Wei.

Sejak memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik bulan lalu, Chong Wei dilihat terpaksa memenuhi beberapa majlis untuk meraikan kejayaannya sehingga menganggu jadual latihan.

Beliau berkata, pada masa sekarang persiapannya berjalan lancar dan tumpuan terarah untuk mempertahankan kejuaraan.

Tahun lalu, Chong Wei berjaya menjuarai Terbuka Jepun setelah menumbangkan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat dalam saingan tiga set iaitu 22-20, 19-21, 21-19.

Pada kejohanan kali ini, yang akan berlangsung dari 16-21 September ini, halangan sukar bagi pemain pilihan pertama itu akan bermula di peringkat suku akhir apabila diundi bertemu pemain muda Indonesia, Simon Santoso.

Bagaimanapun dengan ketiadaan jaguh-jaguh China, termasuk juara Olimpik, Lin Dan, Chen Jin atau Bao Chunlai, Chong Wei dilihat berpeluang cerah untuk mempertahankan gelaran.

- Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50OLFo9qV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan