Khamis, 14 Disember 2017

Chong Wei boleh menang jika lebih relaks

ARKIB : 06/01/2009
 
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Rashid Sidek percaya, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi pilihan utama untuk muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, namun dengan syarat dia harus bermain lebih relaks seperti di Siri Super Masters Akhir, bulan lalu.

Rashid, yang mengambil alih tugas mengawasi Chong Wei selepas ketiadaan Datuk Misbun Sidek mengakui, Chong Wei berada dalam situasi yang cukup sempurna untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kelima.

Katanya, ketiadaan pemain utama China seperti Lin Dan dan Chen Jin, selain penarikan diri jaguh Indonesia, Taufik Hidayat menjadikan peluang pemain nombor satu dunia itu lebih cerah, namun saingan tetap kompetitif dengan kelibat naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro, selain pemain Denmark, Peter Hoeg Gade.

"Secara fizikal dan mental, Chong Wei berada dalam keadaan yang amat baik dan bersedia menyahut cabaran, cuma... dia kena lebih relaks dan tidak mengulangi kesilapan dengan meletakkan tekanan yang tidak perlu.

"Kejuaraan memang amat cerah untuk dirangkul tetapi seperti yang saya tegaskan, dia harus fokus kepada permainan dan jangan membenarkan perkara lain mengganggu permainan," kata Rashid, yang memerhatikan latihan Chong Wei menjelang Terbuka Malaysia hari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Menurut Rashid, beliau amat gembira dengan latihan dan persiapan yang dijalani pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing itu, selain memuji disiplin serta dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh pemain utama negara itu.

Chong Wei, juara Terbuka Malaysia 2004, 2005, 2006 dan 2008 akan memulakan kempen dengan menentang pemain muda Indonesia, Andre Kurniawan di pusingan pertama esok, sebelum dijangka berdepan Tien Minh Nguyen dari Vietnam di pusingan kedua.

Pada suku akhir, juara Siri Super Masters Akhir itu dijangka bertemu jaguh muda Indonesia, Simon Santoso atau Sho Sasaki dari Jepun.

Cabaran Malaysia dalam undian utama perseorangan lelaki juga akan dipikul Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob, Muhd. Roslin Hashim dan Wong Choong Hann.

Sementara itu Chong Wei mengakui, dia banyak belajar daripada kesilapan lalu dan berjanji untuk beraksi dengan lebih tenang apabila turun ke gelanggang esok.

Kata juara Terbuka Singapura itu lagi, beban di bahunya sudah separuh berkurangan selepas kemenangan di Sabah, bulan lalu dan dia bersedia amat bersedia menyahut cabaran memburu kejuaraan kelima tanpa tekanan hebat.

"Sama seperti ketika di Sabah, saya tidak mahu terlalu serius mengambil kejohanan ini. Bukan bermakna saya ambil mudah, cuma saya kena bermain dengan lebih relaks dan ambil perlawanan satu demi satu. Saya tidak mahu meletakkan tekanan mengarut kepada diri sendiri.

"Saya mungkin turun sebagai pilihan utama tetapi saya tidak boleh pandang ringan kepada pencabar saya. Pada saya, Peter Gade masih lawan paling berbahaya dalam kejohanan ini, walaupun saya kalahkan dia dua kali di Kota Kinabalu," kata Chong Wei.
SUMERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51HzWMYg8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan